Najib kena tarik balik sokongan kepada AS demi Palestin: Tun M

BANGI, 3 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Dalam pada Datuk Seri Najib Razak berjanji tidak akan mengorbankan prinsip Islam semata-mata untuk menjaga hubungan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa beliau menarik balik kata-kata ‘musuh AS adalah musuh Malaysia’.

Perdana Menteri ketika menulis dalam laman web politik AS, The Hill sempena ulang tahun serangan pengganas 11 September 2011 yang disiarkan 11 September lalu, antara lain berkata:

Your enemy -those who blaspheme against the religion of a majority of Malaysians by claiming their terrorism is Islamic -is our enemy, too.” (Musuh kamu – mereka yang mengkufuri agama majoriti rakyat Malaysia dengan mendakwa keganasan mereka adalah Islam – adalah juga musuh kami) – Malaysian prime minister: Trump, we have your back in fighting ISIS

Bekas Perdana Menteri berkata, AS menganggap Palestin sebagai musuh mereka dan Malaysia mesti memberi jaminan kepada dunia bahawa Palestin bukan musuh Malaysia, selain memihak kepada Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin.

Dr Mahathir menulis demikian dalam blog beliau, tatkala satu perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis diadakan di Masjid Putrajaya hari ini yang turut dihadiri Najib, Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, manakala PAS diwakili Ketua Pemudanya, Mohd Khalil Abdul Hadi.

Dr Mahathir juga hadir menyertai solidariti itu dan bersolat Jumaat di Masjid Putra. Bagaimanapun, beliau tidak dijemput berada bersama pemimpin-pemimpin lain, sebaliknya duduk di kalangan orang awam di dalam masjid itu.

Dalam ucapannya hari ini, Najib mengakui mendapat sambutan baik ketika melawat White House, dan Trump pula adalah sahabat baiknya.

Dalam lawatannya ke Washington 11 hingga 13 September lalu, rakyat dikejutkan dengan tiga janji Najib, kononnya untuk membantu mengukuhkan ekonomi AS, penyokong kuat rejim Zionis Israel itu.

Tiga janji Najib ialah:

1) Pembelian pesawat Boeing bagi kegunaan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) iaitu membeli 25 pesawat 737 MAX 10, dan lapan 787 Dreamliners. Serta kemungkinan untuk menambah 25 lagi 737 MAX 10 pada masa hadapan yang keseluruhannya dijangka bernilai AS$10 bilion (RM40.8 bilion);

2) Meningkatkan pelaburan melalui pegangan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sehingga kini sudah pun melabur sebanyak AS$7 billion (RM28.56 bilion) dalam pegangan ekuiti, serta berhasrat untuk menambah AS$3 bilion (RM12.24 bilion) hingga AS$4 bilion (RM16.32 bilion) lagi bagi tujuan pembangunan semula infrastruktur AS; dan

3) Khazanah Nasional Berhad, yang memiliki pejabat di Lembah Silikon dan telah melabur sebanyak AS$400 juta (RM1.632 bilion) dalam syarikat teknologi tinggi, akan menambah lagi pelaburannya di AS.

Bagaimanapun dalam ucapan solidariti kepada Palestin hari ini Najib berkata, Malaysia adalah negara berdaulat yang mempunyai martabatnya sendiri dan tidak pernah memohon bantuan kewangan daripada sesiapa pun, malah AS, sebaliknya negara itu yang meminta bantuan Malaysia membeli pesawat berkenaan.

The post Najib kena tarik balik sokongan kepada AS demi Palestin: Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian