ismakualaterengganu

Penggajian pembantu rumah warga asing dalam talian

PUTRAJAYA, 10 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Proses penggajian pembantu rumah asing (PRA) dalam talian melalui Sistem Maid Online (SMO) akan ...

PUTRAJAYA, 10 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Proses penggajian pembantu rumah asing (PRA) dalam talian melalui Sistem Maid Online (SMO) akan mengambil masa seawal lapan hari sahaja, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Bermula 1 Januari depan, beliau berkata, majikan boleh mengemukakan permohonan dalam talian melalui SMO (http://ift.tt/2Cf7ydB) untuk mengambil pembantu rumah dari sembilan negara sumber iaitu Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Thailand, India, Laos, Nepal, Vietnam dan Kemboja.

Bagi pihak majikan, beliau berkata proses akan bermula dengan daftar masuk, pendaftaran majikan dan PRA serta mengemukakan keputusan pemeriksaan kesihatan (FOMEMA) yang dijangka mengambil masa kira-kira tiga hari.

“Selepas menerima permohonan daripada pihak majikan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari untuk semakan dokumen, kelulusan, bayaran dan cetakan Pas Lawatan Kerja Sementara,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Mustafar berkata, SMO merupakan sistem yang cepat, tepat dan jimat kos dengan ia dapat membasmi penyertaan ejen berikutan majikan yang akan memasukkan maklumat sendiri dan PRA dengan satu kata laluan.

Selain itu, katanya, kos penggajian PRA adalah jauh lebih rendah iaitu RM1,635 berbanding RM12,000 hingga RM18,000 sebelum ini.

“Kerajaan yakin sistem ini akan meningkatkan tahap produktiviti, mengurangkan tanggungan kos berkaitan rumah tangga dan penjagaan anak-anak.

“Selain itu, ia menggalakkan penyertaan isi rumah khususnya golongan B40 dalam pasaran pekerjaan negara, sekali gus meningkatkan penjanaan pendapatan dan taraf hidup isi rumah,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan majikan memohon PRA secara terus dalam talian bermula 1 Januari 2018.

Mustafar menjelaskan antara syarat kelayakan majikan adalah majikan mesti terdiri daripada suami isteri yang mempunyai anak berumur di bawah 15 tahun yang memerlukan jagaan dan perhatian, anak kelainan upaya (tanpa had umur), majikan atau isteri yang sakit/ uzur atau ibu bapa yang uzur.

“Majikan yang terdiri daripada suami isteri hanya boleh menggaji seorang PRA sahaja pada satu-satu masa,” katanya.

Mustafar berkata, antara syarat kelayakan PRA pula mereka mestilah berada dalam negara atas Pas Lawatan Sosial yang sah dan tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara yang aktif dengan majikan lain.

Beliau berkata, PRA yang tinggal lebih masa di Malaysia bermula 1 Jan hingga 31 Dis atas Pas Lawatan Sosial sahaja yang layak untuk memohon namun permohonan hanya akan dibuka untuk tempoh enam bulan sahaja iaitu 1 Jan hingga 30 Jun tahun depan.

“Majikan perlu mendaftar dalam sistem terlebih dahulu dan akan dirujuk ke Bahagian Penguatkuasaan untuk tindakan kompaun,” katanya sambil memberitahu kompaun berkenaan termasuk RM500 kepada majikan, bakal PRA (RM300) dan bayaran pas khas (RM100).

Oleh itu, jumlah kos bayaran untuk pengambilan PRA yang memiliki Pas Lawatan Sosial yang tinggal lebih masa ialah RM2,535, katanya.

Beliau memberitahu PRA yang berada di negara ini tetapi memiliki pas selain daripada Pas Lawatan Sosial juga tidak layak mengemukakan permohonan.

Sebarang pertanyaan mengenai permohonan pengambilan PRA boleh merujuk secara terus kepada pusat panggilan Unit Pembantu Rumah Asing melalui talian 03-88801468 atau e-mel admin_maidonline@imi.gov.my atau merujuk kepada Bilik Gerakan JIM pada 8.30 pagi hingga 11 malam melalui talian 03-8880 1555. – Bernama

The post Penggajian pembantu rumah warga asing dalam talian appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 5982657442387037808

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item