Peniaga makanan didenda RM12,000 pukul jiran, halang polis

PETALING JAYA, 30 Rabiulawal 1439H, Selasa – Seorang peniaga makanan didenda RM12,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan iaitu memukul tiga jirannya dan menghalang tugas anggota polis, tiga bulan lepas.

Majistret Nurulhuda Zakariya menjatuhkan hukuman itu terhadap Norhayati Che Bakar, 48, selepas wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah atas kesemua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau dua bulan penjara bagi setiap pertuduhan manakala bagi pertuduhan menghalang polis, dia didenda RM6,000 atau penjara enam bulan.

Wanita itu membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Masitah Hassan, 38;Tajul Hasikin Rosli, 39; dan Abdullah Hassan, 35; dengan memukul bahagian tangan dan dahi mereka di tingkat 4, sebuah pangsapuri, di Jalan PJS 8/14, di sini, pada 8.30 pagi, 21 September lepas.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan keempat, wanita itu dituduh dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu dua pegawai polis, Asisten Superintendan Supari Mohammad dan Konstabel Masniza Muslimin daripada menjalankan tugas di tempat dan tarikh sama pada 5.15 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yusri Yusof merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Selain itu, anak guam saya sudah insaf. Direman selama tujuh hari cukup memberi pengajaran kepadanya dan dia kini sudah berpindah ke Kedah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy memohon hukuman setimpal kerana mangsa adalah jiran dan kejadian itu tidak sepatutnya berlaku.

Mengikut fakta kes, ketika salah seorang mangsa menyidai pakaian pada pagi tersebut, tertuduh yang berada di tingkat tiga memaki hamun mangsa dengan kata-kata kesat sebelum naik ke tingkat empat sambil mengejar mangsa dengan kayu.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan semasa polis datang pada sebelah petang untuk menahan wanita itu, tertuduh enggan memberikan kerjasama serta tidak mahu menyerahkan kad pengenalannya tetapi mencabar polis serta meronta-ronta cuba melarikan diri sebelum dia ditangkap. -Bernama

The post Peniaga makanan didenda RM12,000 pukul jiran, halang polis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian