Perjanjian damai dengan Fatah ‘runtuh’: kata Hamas

GAZA, 4 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di Semenanjung Gaza, Yahya Al-Sinwar, memberi amaran perjanjian damai dengan Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah), runtuh.

“Saya kesal mengatakan bahawa mereka yang tidak dapat melihat perdamaian itu runtuh adalah buta. Perdamaian itu sedang runtuh dan semua pihak mesti campur tangan menyelamatkannya.

“Kita telah mengambil langkah terbaik bagi mencapai perdamaian itu dan membuat banyak pengorbanan dan penyerahan, tetapi perdamaian itu masih pada tahap sama.

“Sesetengahnya mahu perdamaian menurut terma ditetapkan Amerika dan Israel. Ini bermakna menyerahkan senjata, keupayaan peluru berpandu dan terowong,” katanya pada pertemuan dengan belia dan aktivis di Gaza, semalam.

Hamas dan Fatah gagal mencapai sasaran 10 Disember bagi kerajaan perpaduan Palestin untuk bertanggungjawab sepenuhnya di Semenanjung Gaza, berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 12 Oktober lalu di Kaherah, Mesir.

Pihak berkuasa Palestin (PA) yang diterajui Fatah mengambil alih tiga lintasan sempadan di Semenanjung Gaza – lintasan sempadan dengan Mesir di Rafah; lintasan komersial Karm Abu Salem; dan lintasan sempadan Beit Hanoun dengan Israel.

Dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengikitraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, Yahya berkata, usaha memenuhi semua perjanjian itu mesti dipercepatkan.

PA diketuai Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, enggan menarik balik sekatan yang dikenakan terhadap Semenanjung Gaza, suatu terma yang membentuk sebahagian daripada syarat utama perjanjian perdamaian itu.

Sekatan oleh PA masih berkuat kuasa dan menjejaskan pelbagai sektor di Gaza, terutama kesihatan.

Sejak Mac lalu, rakyat Palestin di Gaza mengalami kesan daripada kekurangan bekalan perubatan. Menurut sumber, bekalan ubat di wilayah itu hanya mampu memenuhi 45 peratus daripada keperluan di Semenanjung Gaza.

Sementara itu, sekumpulan pekerja pembersihan di Gaza mengumumkan akan mengadakan tunjuk perasaan selama sejam setiap hari, selepas mereka tidak dibayar gaji AS$400 sebulan selama empat bulan.

Mereka menggesa kerajaan Palestin memenuhi tuntutan itu. Terdapat kira-kira 700 pekerja pembersihan di Gaza yang bertugas di hospital di wilayah berkenaan.

Syarikat pembekal pula baru-baru ini menghentikan penghantaran makanan ke hospital dan pusat perubatan di Semenanjung Gaza kerana mereka tidak dibayar. – Agensi

The post Perjanjian damai dengan Fatah ‘runtuh’: kata Hamas appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian