Perkasa desak Hindraf gugur tuntutan terhadap Dr Zakir Naik
KUALA LUMPUR, 29 Rabiulawal 1439H, Isnin – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan kumpulannya menarik balik serta mengugurkan tuntutan mahkamah terhadap pendakwah antarabangsa terkenal, Dr Zakir Naik.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kumpulan itu perlu berbuat demikian kerana Interpol sudah pun menolak permohonan India untuk mengeluarkan Notis Merah ke atas Dr Zakir Naik.
“Hindraf dan kumpulannya harus menarik balik serta mengugurkan tuntutan mahkamah terhadap Zakir Naik demi menjernihkan hubungan antara kaum dan agama,” katanya seperti dilapor Sinar Online, hari ini.
Polis antarabangsa (Interpol) dilaporkan telah membatalkan notis arahan tangkap terhadap Dr Zakir Naik pada 16 Disember dan turut mengarahkan pejabatnya di seluruh dunia memadam segala data mengenai pendakwah antarabangsa itu, daripada fail mereka.
Langkah itu dibuat berikutan pihak berkuasa India didapati gagal untuk mengekstradisi Dr Zakir yang kini berada di Malaysia.
“Tindakan Interpol itu sebagai amat tepat pada masanya kerana ini boleh membersihkan nama Zakir Naik daripada sebarang tuduhan yang melulu, prasangka, prejudis dan fitnah.
“Kami bersyukur kepada Allah atas pelepasan yang diberikan kepada pendakwah tersohor antarabangsa Zakir Naik oleh Interpol atas tuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan seperti yang didakwa oleh kerajaan India,” katanya lagi.
The post Perkasa desak Hindraf gugur tuntutan terhadap Dr Zakir Naik appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan