PNB umum dividen 7 sen, bonus 0.25 sen, bonus khas 1 sen bagi ASB


KUALA LUMPUR,  3 Rabiulakhir 1439H, Jumaat — Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) terdiri daripada dividen tujuh sen seunit, bonus 0.25 sen seunit dan bonus khas satu sen seunit bagi baki sehingga 10,000 unit bersempena dengan Ulang Tahun Ke-40 PNB pada Mac 2018.

Agihan pendapatan itu adalah bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2017.

“Unit-unit yang dilabur semula daripada dividen dan bonus akan dikreditkan ke akaun pemegang unit pada 1 Jan, 2018, manakala bonus khas ulang tahun akan dikreditkan pada 1 Mac, 2018,” kata Pengerusi Kumpulan Tan Sri Abdul Wahid Omar pada taklimat media mengenai perkembangan terkini suku keempat 2017 PNB di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah agihan RM10.7 bilion itu akan memberi manfaat kepada 9.1 juta pemegang unit yang memiliki lebih daripada 145.6 bilion unit dalam ASB.

“Majoriti pemegang unit, yang berjumlah kira-kira 7.5 juta yang memiliki baki sehingga 10,000 unit akan mendapat pulangan efektif 8.25 sen seunit, 800,000 pemegang unit yang memiliki antara 10,001 dan 40,000 unit akan menerima sekurang-kurangnya 7.5 sen.

“Baki 700,000 pemegang unit akan menerima sekurang-kurangnya 7.26 sen,” katanya.

Sementara itu, PNB juga mengumumkan agihan pendapatan 3.65 sen seunit bagi dana harga berubah-ubah pertamanya, Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan 2017.

“Ini juga membawa kepada hasil dividen lima peratus dan menyumbang kepada jumlah pulangan setakat tahun ini pada 15 peratus pada 21 Dis, 2017,” kata Abdul Wahid.

Pada 30 Nov, 2017, ASN mencatatkan pendapatan bersih RM72.65 juta dan agihan pendapatan RM69.4 juta yang akan memberi manfaat kepada 1.2 juta pemegang unit dengan 1.9 bilion unit dalam dana.

Menyifatkan 2017 sebagai tahun yang baik kepada PNB, Abdul Wahid berkata pendapatan bersih syarikat itu meningkat 7.1 peratus kepada RM15.4 bilion manakala jumlah aset di bawah pengurusan naik 4.6 peratus kepada RM276.5 bilion setakat November 2017 daripada RM264.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Dana saham amanah terdiri RM232.6 bilion daripada jumlah ini, manakala baki RM43.9 bilion ialah dana milik sendiri PNB,” katanya. – Bernama

The post PNB umum dividen 7 sen, bonus 0.25 sen, bonus khas 1 sen bagi ASB appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian