Polis Kelantan kesan sindiket Macau Scam guna Pos Malaysia

KOTA BHARU, 29 Rabiulawal 1439H, Isnin – Polis Kelantan mengesan taktik terbaru sindiket ‘Macau Scam’ yang menggunakan nama Pos Malaysia untuk menipu mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Supritenden Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, sindiket berkenaan akan menyamar sebagai pegawai Pos Malaysia dan menghubungi nombor telefon sebelum menyuruh mangsa mengambil barangan di pejabat syarikat berkenaan.

“Dalam perbualan telefon itu juga, sindiket berkenaan akan meminta salinan kad pengenalan dan menyuruh mangsa membuat bayaran ke akaun tertentu.

“Mangsa hanya menyedari diri mereka tertipu apabila tiba di pejabat pos yang diarahkan dan gagal menuntut barangan kerana barangan tersebut memang tiada dalam simpanan pejabat pos itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah dan kerugian yang dialami mangsa yang ditipu sindiket berkenaan.

Mohamed Zulmazi berkata, sekiranya mangsa sudah memindahkan wang ke akaun yang diarahkan, potensi untuk mendapatkan semula wang tersebut sudah terlambat kerana biasanya wang di dalam akaun terbabit akan dikeluarkan suspek secepat mungkin.

Katanya, akaun yang digunakan biasanya milik individu tertentu dan dipercayai sudah berpakat dengan sindiket dengan ganjaran bayaran komisen.

Mengulas lanjut, Mohamed Zulmazi berkata, antara lain modus operandi sindiket Macau Scam ini termasuklah menyamar sebagai pegawai kanan polis daripada Bukit Aman, pengutip hutang, pihak bank dan sebagainya bagi menimbulkan kebimbangan kepada mangsa.

Beliau berkata, sindiket ini turut membuat pelbagai ugutan termasuk mahu menahan mangsa menyebabkan mangsa ketakutan dan mengikut arahan mereka sehingga akhirnya sedar wang sudah diserahkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes penipuan membabitkan sindiket Macau Scam ini meningkat 375 peratus kepada 19 kes pada tahun ini membabitkan kerugian RM313,090 berbanding empat kes dengan kerugian RM162,490 pada tahun lepas.

“Orang ramai diminta supaya sentiasa berwaspada sekiranya mendapat panggilan daripada sindiket sebegini dan jangan sesekali memberi maklumat peribadi khususnya nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank,” katanya.- Bernama

The post Polis Kelantan kesan sindiket Macau Scam guna Pos Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian