Pura-pura minta tukar paip air, warga emas disamun

PARIT, 8 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM9,800 apabila barang kemasnya disamun oleh pasangan kekasih yang berpura-pura meminta mangsa menukar paip air di perkarangan rumahnya di Kampung Sri Kaya, Bota Kiri, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, wanita berusia 82 tahun yang berada di halaman rumah didatangi kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah.

Menurutnya, mangsa telah menyapa suspek lelaki yang mendakwa mahu ke rumah sebelah namun mendapati suspek telah pergi ke bahagian kanan rumahnya.

“Lelaki itu memanggil mangsa dan menyuruhnya menukar paip air tetapi ditolak mangsa dengan alasan paip itu masih elok dan baru ditukar.

“Tiba-tiba lelaki itu merentap tangan kiri wanita warga emas terbabit dan menarik mangsa ke belakang rumah sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan mulutnya ditutup dari belakang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, suspek lelaki itu kemudiannya mengambil seutas gelang emas dan cincin emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri dengan membonceng motosikal yang ditunggang kekasihnya iaitu seorang remaja perempuan yang telah menunggu di halaman rumah.

Beliau berkata, pasangan kekasih berumur 19 dan 24 tahun itu telah ditahan di Sitiawan, malam tadi dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, wanita warga emas itu turut cedera di tapak tangan kiri manakala barang kemas yang disamun kedua-dua suspek masih belum ditemui. -Bernama

The post Pura-pura minta tukar paip air, warga emas disamun appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian