Salah tafsir ayat al-Quran bukti niat jahat Orok: Timbalan Mufti Perak

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 10 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Paderi Kristian, David Orok sengaja mencetuskan provokasi menghina Islam apabila membuat tafsiran salah ayat salah suci al-Quran, sehingga menyeleweng dari makna asal, kata Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim.

Orok memetik ayat 58 surah Al-Baqarah, surah An-Nisa’ (ayat 154) dan surah Yunus (ayat 93), mendakwa al-Quran menyatakan bahawa Allah menyerahkan pemilikan tanah suci Palestin kepada orang Israel.

Beliau sekaligus menuduh umat Islam yang membantah pencabulan rejim Zionis Israel ke atas Palestin sebagai murtad dan iblis, kerana kononnya telah menolak kehendak al-Quran.

Kesal dengan tindakan biadab Orok, Ustaz Zamri berkata, dia tidak boleh sewenang-wenangnya mentafsir mengikut kefahaman sendiri.

Katanya, Orok hanya memetik ayat 58 surah al-Baqarah, tetapi dia tidak membaca sekali ayat 59 yang menerangkan bahawa Allah akan menurun bala kepada mereka yang ingkar perintahNya.

“Ini semua ayat celaan Allah kepada mereka yang membalas semua nikmat Allah dengan melawan perintah Allah, kena baca sekali baru tidak salah tafsir.

“Kalau kita lihat, tiga dalil yang dibawa oleh Orok semuanya adalah gambaran celaan Allah kepada mereka yang diberi peluang oleh Allah. Malah, tiada kriteria taqwa kepada Zionis pembunuh kanak-kanak, wanita perampas tanah umat Islam.

“Nampak dia sepenuhnya salah mentafsir. Hujah al-Quran dia telah menjerat diri sendiri dan menonjolkan niat jahat dia terhadap Islam. Semua ayat yang dijadikan hujah telah difahami diluar konteks,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Ustaz Zamri berkata, jika dilihat pada ayat yang dipetik Orok, semua mengandungi celaan kepada bani Israel, samada pada ayat yang sama atau ayat-ayat selepas itu, mahupun dalam ayat itu sendiri.

Katanya, celaan berlaku disebabkan sikap mereka yang melawan para nabi, kufur kepada Allah, melakukan kerosakan di muka bumi seperti yang berlaku pada hari ini.

“Jadi, apa sebenarnya motif Orok? Ada kemungkinan, dia sengaja membuat provokasi kepada umat Islam, atau sifat konsistennya yang sentiasa mahu mengeluarkan kenyataan yang menyinggung umat Islam,” katanya.

Orok pernah dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 15 September 2015, kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dalam Facebooknya.

Dia yang dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, pada mulanya tidak mengaku salah, tetapi menukar pengakuannya. Ketika memohon hukuman dikurangkan, peguamnya mendakwa Orok menyesali perbuatannya dan telah memohon maaf.

Justeru Ustaz Zamri berkata, jika Orok suka untuk mentafsir ayat al-Quran, kita mendoakan dia akan terbuka hati dan beriman dengan Nabi Muhammad SAW dan al-Quran.

“Dalam kes ini, sepatutnya dia beriman dengan beberapa ayat yang menjanjikan dunia ini dikuasai oleh orang yang beriman, bertaqwa dan soleh, bukannya Zionis Israel seperti ayat 21:105, 7:128, 24:55,” katanya.

The post Salah tafsir ayat al-Quran bukti niat jahat Orok: Timbalan Mufti Perak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian