Sultan Nazrin tegur institusi calar imej Islam

IPOH, 12 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menegur perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu di negara ini yang membenarkan petugas mereka melakukan pelbagai tindakan atas nama melindungi Islam namun sebenarnya mencemarkan imej agama suci itu.

Titah baginda, tindakan seperti kaedah soal siasat yang mengandungi elemen seksaan dan deraan, walaupun dibuat atas tujuan mahu menguatkuasakan peraturan demi melindungi Islam, telah menyebabkan kesucian dan nama baik Islam di negara ini semakin tercalar.

“Malaysia adalah sebuah negara yang harum namanya lagi dihormati dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam kerana amalan kesederhanaan beragama.

“Kata-kata penghinaan yang diungkapkan dan tindakan-tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen-elemen seksaan dan deraan memberi imej tersangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringat Negeri Perak di sini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Selain itu, baginda juga mahu perbuatan memulaukan kumpulan atau memutuskan silaturahim sesama individu hingga ke tahap enggan menguruskan jenazah hanya kerana perselisihan tafsiran dan pandangan, wajib dihentikan serta dibanteras secara tegas.

“Islam menganjurkan kesederhanaan. Majoriti umat yang berpegang kepada amalan kesederhanaan wajib bangun bersuara dan jangan sama sekali merelakan untuk ditenggelami oleh kumpulan ekstrem yang minoriti,” titah Sultan Nazrin.

Baginda juga bertitah supaya penyeru kebenaran meneliti metodologi dakwah serta kaedah yang digunakan untuk menangani pelbagai isu agama terutama generasi muda.

Ini terutamanya dalam menghadapi perubahan pesat sosial budaya pada era kebangkitan teknologi dan umat yang lebih celik huruf, lebih terpelajar dan lebih terdedah terutama generasi muda, titah baginda.

Baginda bertitah Islam sewajarnya dilindungi dan dikembangkan melalui pendekatan berhemah, secara sopan serta terhormat dan dilaksanakan tanpa paksaan, tekanan dan kekerasan serta perbuatan yang boleh menjatuhkan aib.

“Islam hendaklah dipertahankan kebenarannya dan dilindungi kesuciannya melalui perbincangan dan penghujahan berdasarkan fakta dan kebenaran dalam semangat yang menghormati kelainan dan perbezaan pandangan,” titah baginda. -Bernama

The post Sultan Nazrin tegur institusi calar imej Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian