Suspek kes bunuh lelaki di stesen minyak dikenal pasti
JOHOR BAHRU, 29 Rabiulawal 1439H, Isnin – Polis mengenal pasti empat suspek yang terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, di sini malam tadi.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan dan menahan keempat-empat suspek tersebut.
Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati kenderaan BMW 520i yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran yang bukan miliknya.
“Pemilik asal berjaya dikesan dan setelah ditemubual, kami dapati tiada kaitan dengan kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata melalui bedah siasat dijalankan pihak Hospital Sultanah Aminah, mangsa turut disahkan meninggal dunia akibat tikaman.
Mohd Khalil juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menyalurkan segera kepada balai polis terdekat atau menghubungi hotline Polis Johor di talian 07-2212999.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa yang berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam dan dilanggar menggunakan sebuah kereta jenis BMW oleh sekumpulan empat lelaki.
Kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen berkenaan, sebelum tiba-tiba didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka.
Mangsa, bagaimanapun dilaporkan melawan dan akibat itu, berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.
Melihat kejadian itu, wanita yang bersama mangsa terus melarikan diri meminta bantuan orang awam.
Mangsa pula berjaya seketika meloloskan diri namun suspek kemudian menaiki kereta mereka dan membuat pusingan di stesen minyak berkenaan sebelum bertindak melanggar mangsa dan kemudian mengundurkan kenderaan dan melanggar mangsa sekali lagi sebelum melarikan diri.
Kejadian bunuh di sebuah stesen minyak itu, turut viral di laman sosial melalui rakaman video orang awam yang berada di lokasi kejadian. – Bernama
The post Suspek kes bunuh lelaki di stesen minyak dikenal pasti appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan