TH sasar perluas hospital patuh Shariah ke 14 negeri

KUALA LUMPUR, 15 Rabiulawal 1439H, Isnin — Lembaga Tabung Haji (TH) mula memberi fokus kepada segmen perkhidmatan hospital patuh Shariah dalam pelaburan hartanahnya, dan berhasrat memperluas penawarannya ke seluruh negara secara berperingkat.

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ruang kerjasama kini dibuka untuk doktor-doktor Bumiputera Islam dalam mengembangkan perniagaan dalam segmen ini secara usaha sama dengan TH.

“Segmen hospital patuh Shariah telah dikenal pasti mampu memberi manfaat dan pulangan dividen mampan kepada para pendeposit.

“Setiap permohonan (untuk pembukaan baharu hospital patuh Shariah) akan kita kaji teliti dan akan luluskan sekiranya ada keperluan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli bangunan Hospital Pakar An-Nur Hasanah (HPAN), Bangi, Selangor bernilai RM135 juta, antara TH dan Bangi Gateway Medical Sdn Bhd dan Medic IG Sdn Bhd (Medic IG), di sini hari ini.

Bangunan HPAN yang terletak di tanah seluas 0.93 hektar di Bangi, Selangor bakal memuatkan 200 katil, dan dijangka memula operasi pada hujung 2018.

TH juga turut menandatangani perjanjian pajakan bangunan HPAN dengan Medic IG selama 21 tahun dengan kadar purata pulangan bersih pelaburan sebanyak 7.5 peratus setahun.

Untuk Lembah Klang sahaja, Azeez membayangkan terdapat keperluan hospital patuh Shariah di lokasi tumpuan ramai penduduk Melayu seperti di Ara Damnsara, Subang, Shah Alam, Puchong, Gombak dan Ampang.

Beliau mendefinasikan hospital patuh Shariah sebagai hospital yang beroperasi berlandaskan rukun Islam.

Antara lain, beliau berkata, ia perlu mempunyai kemudahan bersalin dan sakit puan yang dikendalikan oleh doktor wanita untuk wanita, skim pinjaman Islam, kemudahan surau lebih besar dengan imam bertugas, serta penawaran perkhidmatan pengurusan jenazah yang lengkap.

Operator hospital patuh Shariah yang bekerjasama dengan TH berpotensi memperoleh manfaat ke atas 9.7 juta pendeposit TH, seperti terlibat dalam urusan vaksin dan saringan kesihatan, sebelum mengerjakan haji, katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata daripada jumlah dana pendeposit sebanyak RM70.7 bilion, 20 peratus atau RM14.4 bilion telah disediakan untuk pelaburan hartanah.

Beliau berkata, sehingga kini TH telah melabur sebanyak RM9.9 bilion dalam hartanah dan masih mempunyai baki pelaburan sebanyak RM4.2 bilion untuk sektor itu.

“Kita tidak akan tergesa-gesa. Kita akan lihat mana-mana pelaburan yang bersesuaian dari segi risiko-pulangan pelaburan, dan akan membuat kajian secara teliti,” katanya.— Bernama

The post TH sasar perluas hospital patuh Shariah ke 14 negeri appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian