Tiga penunjuk perasaan ditembak mati di Iran
TEHRAN, 12 Rabiulakhir 1439H, Ahad – Tiga penunjuk perasaan dilaporkan ditembak mati, manakala beberapa lagi cedera selepas Pengawal Revolusi Iran melepaskan tembakan untuk menyuraikan perhimpunan di Doroud di wilayah Loerstan di tengah Iran, tengah malam tadi.
Laman sesawang pembangkang negara itu menyiarkan ratusan penduduk berkumpul mengadakan tunjuk perasaan yang sesetengahnya mula bertindak liar, termasuk membakar kenderaan polis, selain laporan mengatakan bangunan kerajaan turut diserang.
Media melaporkan tunjuk perasaan itu yang masuk hari ketiga di seluruh negara adalah yang terbesar selepas rali pro reformasi pada 2009.
Penunjuk perasaan tidak mempedulikan amaran Kementerian Dalam Negeri Iran supaya tidak berkumpul secara haram.
Di bandar Abhar di utara Iran, penunjuk perasaan membakar poster besar gambar pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Di tengah Iran di bandar Arak pula, penunjuk perasaan dilaporkan membakar pejabat penyokong kerajaan. Di Mashhad, timur laut Iran pula, penunjuk perasaan membakar motosikal polis.
Sementara di Tehran pula ratusan penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Azadi. Pegawai kanan Pengawal Revolusi berkata, situasi di ibu negara Iran itu terkawal.
Penunjuk perasaan menuntut kerajaan Iran memperbaiki sistem ekonomi, serta melakukan pembaharuan dalam institusi pentadbiran.
Penunjuk perasaan di Universiti Tehran pula mendesak Ayatollah Khamenei berundur. – Agensi
The post Tiga penunjuk perasaan ditembak mati di Iran appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan