ismakualaterengganu

Tok ‘imams’ yang tiada makmum

Perhatian: Tulisan Pedang kali ini agak panjang, namun, Pedang harap teruskan membaca bagi menambah pengetahuan. Dan, insya-Allah akan ada s...

Perhatian: Tulisan Pedang kali ini agak panjang, namun, Pedang harap teruskan membaca bagi menambah pengetahuan. Dan, insya-Allah akan ada sambungannya)

LEPAS ini mungkin diwujudkan pula BILALS, selepas IMAMS dibatalkan”. Itu antara sindiran pengguna media sosial berkaitan satu sistem yang kononnya untuk mengatasi masalah penipuan kes-kes umrah – Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS).

Pedang tak menafikan, memang ada kes-kes di mana umat Islam yang berhasrat mengerjakan umrah, ditipu orang tertentu atau syarikat pengendali umrah itu sendiri. Seorang rakan Pedang persoalkan, siapa harus disalahkan jika berlaku kes penipuan umrah atau multi level marketing (MLM).

“Kenapa tak siasat dulu pihak yang menawarkan pakej umrah atau MLM tu? Jangan main percaya bulat-bulat kalau harga murah. Bila dah kena tipu buat report. Media sentiasa buat berita kes-kes tipu umrah dan MLM, tapi masih ada yang kena tipu.

“Ramai orang ambil kesempatan sekarang ini. Tapi sebagai pengguna kita siasat dulu. Dapatkan maklumat yang tepat. Tanya anak-anak, tok penghulu ada, pengerusi JKKK ada, tok pengawa ada, tok imam, tok bilal. Tanya mereka,” katanya.

Namun, Pedang perhatikan sejak akhir-akhir ini, kes penipuan umrah sudah semakin berkurangan. Mungkin, orang ramai sudah sedar dan berhati-hati. Bagaimanapun, bagi mengekang terus kes-kes seperti itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) telah memperkenalkan Lesen Khas Umrah (LKU).

LKU dilancarkan secara rasmi pada 3 Oktober 2017, yang mula berkuat kuasa ke atas semua agensi pelancongan yang menjual dan mengendalikan pakej umrah dan ziarah pada 1 Oktober lalu.

Antara syarat utama yang dipertimbangkan bagi mendapat LKU ialah syarikat yang menjual pakej umrah mesti 100 peratus warganegara Malaysia dan beragama Islam – Kalau tak salah Pedang, syarat ini sememangnya dikenakan kepada setiap syarikat pengendali pakej umrah dan haji berdaftar, bukan syarat baharu.

Syarat ini bertujuan memastikan semua urusan ibadah umat Islam di Malaysia, hanya dikendalikan oleh syarikat milik orang Islam. Malah, kakitangan syarikat itu juga – jika ada Ketua Pegawai Operasi – mesti beragama Islam, bukan Kristian atau agama lain.

Dan, Pedang lihat yang penting, KPK tidak mengenakan apa-apa bayaran bagi mendapatkan LKU ini. Bermakna, syarikat penjual pakej umrah tidak perlu mengeluarkan belanja tambahan, yang mungkin sedikit sebanyak akan dicajkan dalam pakej mereka.

Oleh kerana salah satu sebab diperkenalkan LKU ialah bagi mengekang kes penipuan umrah, maka Pedang amat setuju dengan usaha ini.

Dan, sepanjang yang Pedang tahu, jemaah umrah atau haji sebelum ini tidak pernah dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Noktah.

Tetapi, tiba-tiba dan pada masa yang sama Pedang hairan kenapa KPK mahu memperkenalkan satu lagi sistem – dengan alasan sama iaitu menangani kes penipuan umrah, sedangkan, LKU telah diperkenalkan untuk tujuan itu?

Ia adalah IMAMS – sistem yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat, Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd (IMMSSB – anak syarikat kepada sebuah firma lain). IMMSSB dikatakan ditubuhkan pada September lalu, sebulan sebelum menawarkan IMAMS kepada KPK.

Ismaweb pernah menyiarkan berita mengenai taklimat awal sistem itu kepada semua syarikat pengendali pakej umrah di negara ini pada satu majlis yang turut dihadiri pegawai kanan KPK, Oktober lalu. Taklimat itu menjadi ‘panas’ apabila mendapat tentangan pengendali umrah.

Namun, pegawai kanan KPK yang turut hadir mempertahankannya. Kemudian menerusi keputusan unilateral KPK menyatakan IMAMS dipersetujui.

BACA: (EKSKLUSIF) SISTEM IMAMS: GST UNTUK TUNAI PERINTAH ALLAH

Konon, bagi melancarkan lagi sistem pengendalian umrah dan menghalang berlakunya kes penipuan, KPK menerima pakai sistem ini, lalu IMMSSB pun diberi kebenaran melaksanakannya.

Walaupun, mendapat bantahan daripada syarikat pengendali pakej umrah, ia tidak dipedulikan dan mereka wajib mendaftar dengan IMMSSB, jika tidak mereka akan susah.

Bukan setakat mendaftar, sebaliknya mereka, pada awalnya, perlu membayar caj tambahan bagi setiap jemaah umrah sebanyak RM90.10 iaitu RM45 bagi sistem dan pengurusan; insurans (RM40) dan cukai barangan dan perkhidmatan (RM5.10).

Untuk mengetahui lebih lanjut, klik pautan di bawah:

BACA: (EKSKLUSIF) Sistem IMAMS: RM90.10 Mesti Dibayar Secara Prepaid, Membebankan Jemaah

Tetapi, kemudian IMMSSB dalam pekeliling terbaharu yang diedarkan kepada semua syarikat pengendali pakej umrah menyatakan jumlah yang perlu dibayar oleh jemaah mulai 1 Januari tahun depan ialah RM137.80, termasuk RM7.80 GST.

Ia membabitkan RM85 dengan RM5.10 GST bagi perkhidmatan insurans dan RM45 serta RM2.70 GST bagi permohonan visa.

Pedang pernah tulis mengenai IMAMS ini.

BACA: Pelik Kalau Nak Buat Umrah Pun Kena GST

Sebagaimana yang kita tahu, semua syarikat pengendali umrah diwajibkan mendaftar dengan IMMSSB untuk mengguna pakai IMAMS. Dan, mereka dikehendaki membuat semua bayaran mulai 18 Disember hingga 29 Disember 2017 bagi visa, serta 1 Januari 2018 bagi insurans.

Mengikut IMAMS, bayaran hendaklah dibuat dalam bentuk prepaid. Jika mengambil kira anggaran KPK sebelum ini iaitu kira-kira 290,000 umat Islam bakal mengerjakan umrah tahun hadapan, maka IMMSSB dijangka memperoleh RM37.7 juta setahun, manakala kerajaan pula akan mengutip GST sebanyak RM2.262 juta.

Pada awalnya tidak banyak maklumat yang Pedang peroleh mengenai IMAMS dan IMMSSB, namun menyedari ada sesuatu yang tidak kena mengenainya.

Awalnya, Pedang hairan bagaimana sebuah syarikat yang baru ditubuhkan pada September, menawarkan IMAMS kepada KPK pada Oktober dan terus diterima dan dibenar melaksanakannya dalam tempoh singkat. Hampir serentak dengan pelaksanaan LKU.

Awalnya, Pedang tertanya-tanya siapa yang mencadangkan pelaksanaan LKU? Adakah IMMSSB yang memperkenalkan dan mencadangkan kepada KPK kerana mereka sudah bersiap sedia dengan satu formula lain iaitu IMAMS untuk diselaraskan dengan LKU.

Begitu juga awalnya, Pedang hairan kenapa KPK, termasuk pegawai kanannya, beriya-iya mempromosikan IMAMS ketika taklimat pertama kepada syarikat pengendali umrah.

Pedang juga awalnya hairan, adakah pak menteri memberitahu 100 peratus mengenai pelaksanaan IMAMS kepada Kabinet?

Awalnya, Pedang juga hairan kenapa persatuan utama yang memayungi syarikat pengendali umrah berdiam diri, sebaliknya membiarkan majoriti ahlinya menentang?

Dan yang penting ialah Pedang juga hairan kenapa kerajaan boleh membenarkan atau membiarkan urusan ibadah umat Islam dikendalikan oleh orang kafir.

Memijak di bumi nyata, Pedang merumuskan kemungkinan ada ‘hanky panky’ dalam pelaksanaan LKU dan IMAMS, biarpun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyatakan buat permulaan ini tiada unsur rasuah dalam pelaksanaan IMAMS.

Namun, daripada apa yang Pedang ceritakan di atas mungkin juga SPRM boleh mula ‘merisik khabar’ siapa yang hendak dipinangnya.

Atau, mungkin juga ada sesetengah pembaca memiliki jawapannya atau maklumat terbaharu bolehlah e-mel kepada Pedang – katapedang@gmail.com.

Mungkin juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz boleh menceritakan lebih lanjut mengenai ‘Tok Imam’ yang memakai baju Melayu bersongkok hitam, tetapi bukan Melayu, bukan juga Islam, yang mahu menunjukkan identiti ‘kemelayuan dan keislaman’.

Atau, mungkin juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati Samsudin, boleh menceritakan dari awal ‘Tok-Tok Imam’ yang tiada makmum, dengan bertanyakan kepada Ketua Setiausaha KPK atau Timbalan Ketua Setiausaha KPK.

Pedang akan ceritakan lagi selepas ini. Buat sementara ini, Pedang hendak tonton filem Tiga Abdul arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, kerana ada dialog menarik di dalamnya, termasuk kata-kata Sadiq Segaraga kepada Kassim Patalon – “Kalau perkara ini berhasil, saya akan beri 25 persen…”.

Kata Pedang: Khabarnya, BUMITA tidak pernah menentang IMAMS. Kenapa ya? Boleh perjelaskan kepada Pedang atau nak biar Pedang ceritakan?

(Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana)

The post Tok ‘imams’ yang tiada makmum appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 2675950341409721633

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item