ismakualaterengganu

Trump penuhi hasrat Yahudi rampas Baitulmaqdis daripada umat Islam: Khutbah

BANGI, 19 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebenarnya telah memenuhi hasrat bangsa Yahudi untuk mera...

BANGI, 19 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebenarnya telah memenuhi hasrat bangsa Yahudi untuk merampas kembali Baitulmaqdis daripada umat Islam, apabila mengiktiraf bandar bersejarah itu sebagai ibu negara Israel.

Dalam konteks ini, tindakan tersebut dilihat sesuatu yang tidak tepat dan ia jelas salah dari sudut norma dan sistem perundangan yang ada, tegas khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hari ini.

“Hakikatnya, tindakan ini tidak lain adalah untuk menyampaikan hasrat bangsa Yahudi Israel dalam merampas kembali Baitulmaqdis daripada milik umat Islam Palestin bahkan milik kita umat Islam seluruhnya.

“Malah ini boleh dianggap sebagai suatu bentuk rampasan serta jajahan selain mencabuli hak-hak asasi kemanusiaan demi melebarkan lagi kekuasaannya,” kata khutbah itu.

Jakim dalam khutbah itu turut memetik firman Allah SWT dalam surah Al-Israk ayat 4, yang bermaksud:

Dan Kami katakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau-lampau.”

Kerosakan yang pertama dilakukan oleh bangsa ini ialah mereka melakukan kekejaman dan kehancuran dengan mengkhianati perjanjian yang telah dibuat, bahkan sanggup pula membunuh Rasul-Rasul dan Nabi yang di tuskan oleh Allah SWT.

Manakala kerosakan kedua terkandung di dalam firman Allah SWT pada surah ayat 6 surah Al-Israk, yang bermaksud:

Kemudian Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepadamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak-pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.

Menurut tafsiran Dr Fadhal Hassan ‘Abbas, seorang pensyarah di Universiti Jordan di dalam kitabnya mengenai al-Israk wal Mikraj, bahawa kerosakan kedua ini disokong dengan empat perkara iaitu:

(i) Bangsa Yahudi akan mendapat sebuah negara untuk tempat tinggal (Baitulmaqdis);
(ii) Kedudukan ekonominya kukuh;
(iii) Keturunannya ramai; dan
(iv) Pasukan tenteranya juga ramai.

“Justeru, hari ini mereka tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai pusat pentadbiran negara mereka bahkan bakal menjadi Pusat Pentadbiran Dunia bagi bangsa Yahudi,” kata khutbah itu.

Sehubungan itu, Jakim mengajak umat Islam supaya bersatu suara dan tegas memelihara maruah dan bumi Palestin.

“Kini ia bukan lagi menjadi perjuangan rakyat Palestin tetapi menjadi tanggungjawab semua umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

“Kita bimbang, jika ia terus berlaku, akan tercetus ketidakamanan dan ketenteraman di bumi Palestin bahkan terhasil satu bentuk radikalisme dan ektremisme baharu yang lebih besar dan mengakibatkan ancaman keselamatan yang lebih buruk di seluruh dunia,” kata khutbah itu.

Teks penuh khutbah mengenai Baitulmaqdis ini boleh dibaca dalam ruang Pendapat.

The post Trump penuhi hasrat Yahudi rampas Baitulmaqdis daripada umat Islam: Khutbah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 4263516920368190617

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item