WAHAI RASULULLAH -PUISI CINTA KAMI

 

Sirna api biara Majusi

Punah istana kisra Parsi

Sinar putih lunak iringi tubuh suci

Tunduk sujud beralun wirid memuji

Lahirmu rahmat sekelian alami

Dua belas Rabiulawwal Tahun Gajah pada hening Isnin pagi

Yatimmu bukan musibah

Piatumu mencanai tabah

Datuk tercinta turut dijemput Allah

Qada’ Ilahi menyulam hikmah

Abu Talib mahabbahnya mencurah

Naratif di Basrah, telahan Buhaira menebak rahsia kenabian

Anak panah Al-Fujjar dan simpulan Fudhul kaucoret intimnya iman

Degup remajamu lagu melankolik pada nyaman dodoian ihsan

Gembala kambing dan niaga lembarmu buat menenun selimut kehidupan

Tampak amanahmu membasahkan kuntum hati si hartawan janda rupawan

Kau tangisi bumi masghul di ruang runcing nan kian rebak

Memampatkan ceritera Ramadan pada kesunyian gua Hira’

Hening khalwahmu didakap Jibril mewahyukan kalam Iqra’

Gigil gerunmu membubar pertemuan pertama yang mengubah warna dan corak

Seruan Al-Mudatsir mengubat detik rasa yang menggores

Perlahan dan manja memutik seruan risalah khalis

Khadijah, Abu Bakar, Ali, Zaid dan Syurahbil mula menghirup secangkir manis

Tiga tahun rahsia membutir empat puluh jiwa perintis

Siksa Quraish memercik merah derita Sumaiyyah, Yasser, Bilal, Khabab, Aflah dan Zinnirah

Abu Jahal, Abu Lahab, Uqbah, Umaiah, Al-Walid, Utbah dan Syaibah bersaudara terus menarah

Memendam bara yang mengunggun, siaga membakar dan menggugah

Kau tetap kiam tak dirundung lemah

Bersandar pada setiap luka walau sesekali  terpercik  amarah

Tiga tahun, didikan rumah Al-Arqam ternyata  ranum berbuah

Dan tika cebisan risalah terluka, terus digarisi kuku celaka

Warkah Kahfi yang terwahyu menggamit pengikutmu ke Habsyah menagih suaka

Sedang kau tekun menebak kesumat Quraisy yang makin menggila

Keislaman Hamzah dan Umar menyentap rawan sejuta suka

Rantaian dugaan masih baru bermula rupanya Al-Amin

Pemboikotan ekonomi, wafat  Abu Talib dan Khadijah menyimpul segunung derita marhaen

Penolakan Bani Thaqif menjarah luka, persis warna senja sinis bermain

Mujur Isra’ Mikraj menyembuh lara, berdesing ombak syahdu pada dunia yang lain

Kesungguhan yang kau lakarkan di alur pipimu

Membuah enam jiwa suci Yathrib penuh kelabu

Janji setia ‘Aqabah yang ungu

Mus’ab persis guru pena biru

Ikatan bai’ah darah dan syurga merah jambu

Dua belas naqib yang menyeru

Tersenyumlah, Tuhan kirimkan bayu kemenangan di bumi yang telah lama menanti tamu

Hijrahmu Nabi Allah bukannya sedikit sukar

Pada kerinduan Abu Salamah, kemurahan Suhaib dan kenaifan Ayyasy yang usah diselar

Rancangan iblis menagih nyawa, Ali penggantimu yang lena dalam sedar

Berlindung di Thur sezulumat gua, terenjis air mata setia Abu Bakar

Haloba Suraqah panglima kuda, kau janjikan mahkota Rom sebagai mahar

Akhirnya, tibamu di sana memberi Madinah nama yang bersinar

Kau bangunkan pelamin daulah berhias renda ukhuwwah

Masjidmu simbol mewangi aqidah ummah

Bait perlembagaan pada celahan jejari waktu tidak terjamah

Tangan terikat kini terlerai menghunus mengusir lemah

Dihadapanmu medan juang garang merah penuh darah

Tiga ratus tiga belas jiwa memahat cerita

Mengidam pelangi dunia, bersua raksasa tentera

Fikir Al-Hubab dan Saad menyubur bebunga syura mekar terpelihara

Kantuk menjemput lena, rintik hujan penguat jiwa

Berkecamuk Badar saksi iman panas membara

Abdul Rahman, Abu Bakar, Umar dan Abu Huzaifah ikat taqwa cerai saudara

Karangan doamu tulus menggegar ‘arasy dan cakerawala

Berduyun malaikat menyahut, memenggal kepala yang menajiskan benih cinta

Terkubur pendosa di liang neraka tanpa talkin tiada bunga seroja

Hanyir dendam Ikramah, lendir kesumat Abu Sufian tak pernah susut

Kau ingin pertahan kota, nyalaan obor mendesakmu ke Uhud

Semutar Abu Dujanah, terkaman Hamzah, malam madu Hanzalah bertaut

Melutut Quraisy menahan rempuhan tak kenal takut

Sayang, pemanah hilang arah tersilau dunia ingin dikaut

Syahid singa Allah mengocak sungai lukamu yang belumpun sempat surut

Keras didik Tuhanmu, taat setia usah tercabut

Syawal lima Hijrah Madinah pula yang terkepung

Ilham Salman parit digali, zikir dan fikir saling bersenandung

Quraisy, Ghatafan dan Yahudi, sepuluh ribu riuh berkampung

Sepurnama menanti, jasad lompong semangat pun condong

Ribut pasir ligat menari, gering gerun kalbu di celahan agam mendung

Quraizoh mencemar janji, usir keluarga kepala terpancung

Janji Hudaibiyah tampak tak semanis hikmah aksara

Berlalu mendung, terlihat arca senyum suria

Umrah Qada’ galangnya, Quraisy iktiraf, kuatmu pun berbunga

Amru, Hatib, Abdullah, Duhaiyah, Al-‘Ala’, Salit dan Syuja’ diutus duta diraja

Bergemerlap sinar Islam mencapah seantero benua

Yahudi laknat terusir, terbuntu nafas lelah berlari

Tentera Al-Ridhwan mara, derap tapak menghapus badi

Ludahmu penyembuh wira Khaibar, galak menebak mencantas mati

Tersujud tujuh kubu bak mentari mengusir pelangi

Terbentang dunia hijau buat perutmu yang acapkali tak berisi

Lantas kaupangku Sofiah di ribanya indah bulan mimpi

Gugurnya Zaid, Ja’afar dan Abdullah seolah telah kauagak

Dua ratus lima puluh ribu melanyak tiga ribu yang hak

Berselerak, sesak, senak, marak dan tetak pada wajah Mu’tah yang berkocak

Rencana pedang Allah santun congak undur mengelak

Dua belas syuhada’ mencalar hina maruah Rom yang bongkak

Khianat Banu Bakar mengguris tiris pepagar tanah air

Sepuluh ribu mendada, terbakar gerun mencair dosa dan lendir

Abu Sufian jadi hamba, kemarau sungai darah yang mengalir

Berderai jasad berhala, maafmu mencurah bak air yang banjir

Bersatu simfoni Makkah pada berkat Ramadhan yang hadir

Berduyun dakap risalahmu, resah gelisah puak Hawazin

Dangkal fikir Malik kaupermatakan dengan dua belas ribu penuh yakin

Bergelimpangan tenteramu disambar hendap angin dingin

Kaupinta Rabbmu, Al-Abbas berseru, seratus rafiq kembali terjalin

Lontaran pasirmu meluntur jiwa melagukan talkin

Ja’ranah bersinar harta, pita janji ‘Aqabah kembali bermain

Tika usiamu enam puluh dua, parut Mu’tah kembali terluka

Panggilan Tabuk menyiksa, mendera, membara, berdebu lara

Derma sahabat mencurah, biaya Uthman memadam binasa

Culas Kaab, Murarah dan Hilal kaulentur koreksi neraca

Rom dibelit takut, pulangmu harum di persada

Kini pedangmu tersarung, alun syahadah bersahut di telinga

Haji Wida’ mercu pusara mewangi

Gerombolan Usamah kaukarang gurindam aksi

Perlahan geringmu mengagah sunyi

Racun Khaibar  pedih membelati

Jernih pagi dua belas Rabiulawwal yang sebu

Genap enam puluh tiga tahun mengintai waktu

Gegak gempita alam menelan hakikat yang bertamu

Wafatnya kekasih Allah entah akankah kembali bertemu

Pergi, kau tetap pergi dulu

Tinggallah belai cumbu kami terpahat pada ingat yang beradu

Wahai penghulu para Nabi

Terimalah puisi cinta kami

Dari perdu hati

Buat mewangi kasturi janji

Bersuamu di taman Firdausi

 

Nukilan: Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad

Ketua Biro Latihan & Kepimpinan ISMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian