11 negara TPP bakal meterai perjanjian baharu pada 8 Mac


TOKYO, 7 Jamadilawal 1439H, Rabu – Perunding utama dari sebelas negara anggota Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) telah bersetuju untuk menandatangani satu perjanjian perdagangan bebas yang dinamakan sebagai TPP 11 tanpa Amerika Syarikat (AS) di ibu kota Chile, Santiago pada 8 Mac, lapor agensi berita Jepun Jiji Press.

Persetujuan untuk mengadakan majlis menandatangani perjanjian itu dibuat susulan rundingan dua hari yang berakhir di Tokyo pada Selasa memandangkan negara anggota TPP menjadi yakin dalam menyelesaikan semua isu yang masih ada termasuk permintaan Kanada bagi mendapatkan layanan istimewa untuk pasaran budayanya sendiri, kata sumber.

Menteri Pemulihan Ekonomi Jepun, Toshimitsu Motegi, memberitahu sidang akhbar selepas pertemuan itu bahawa perunding telah membuka jalan ke arah mewujudkan peraturan perdagangan yang adil serta bebas di rantau Asia-Pasifik, yang beliau sifatkan sebagai pusat pertumbuhan dunia.

“Jepun akan menjelaskan kepada AS tentang kepentingan TPP untuk membawa negara itu kembali ke pangkuan pakatan perdagangan tersebut,” kata Motegi.

Presiden AS, Donald Trump telah menarik keluar negaranya daripada perjanjian perdagangan bebas pelbagai hala yang asal pada awal tahun lepas.

Perjanjian baharu dalam kalangan negara anggota TPP yang masih kekal bakal menyaksikan penangguhan pelaksanaan beberapa langkah yang dipersetujui oleh kesemua 12 negara anggota asal pakatan itu.

Jika AS kembali ke pangkuan TPP, kesemua langkah ini akan berkuat kuasa.

Sebelas negara anggota telah bersetuju untuk membekukan 22 perkara, termasuk dua perkara tambahan seperti pemansuhan layanan keutamaan kepada syarikat-syarikat milik negara.

Permintaan Vietnam bagi menangguhkan pengenalan peraturan untuk menyelesaikan pertikaian buruh serta permintaan Kanada untuk mengehadkan pelaburan asing bagi melindungi filem dan budaya domestik lain tidak akan dibekukan tetapi akan dilihat pada tahap tertentu dalam perjanjian dua hala antara negara-negara anggota, kata sumber.

Jepun berharap TPP 11 akan berkuat kuasa pada awal 2019. – Bernama

The post 11 negara TPP bakal meterai perjanjian baharu pada 8 Mac appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian