15 kandas di Hutan Berekit diselamatkan

KUANTAN, 16 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Lima belas individu termasuk dua kanak-kanak yang terkandas selepas menyertai aktiviti memancing dan rekreasi di Hutan Berekit, Sungai Kechau, Lipis berjaya diselamatkan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azry Akmar Ayob berkata, mereka dibawa keluar dari kawasan hutan itu pada 3.15 petang, menggunakan kenderaan lasak pacuan empat roda mereka yang diiringi kenderaan pihak berkuasa.

“Mereka ditemui di tempat berkhemah, seperti yang ditunjukkan oleh seorang rakan mereka yang berjaya keluar malam kelmarin, selepas menumpang bot orang kampung yang secara kebetulan datang memancing di situ.

“Semuanya selamat dan tidak cedera. Mereka juga mempunyai bekalan makanan dan pakaian yang mencukupi kerana memang bercadang untuk bermalam di situ sejak Sabtu sehingga Isnin,” katanya ketika dihubungi.

Azry Akmar berkata, mangsa berusia antara 56 hingga 5 tahun, dan berasal dari Petaling Jaya, Rawang, Sungai Buloh, Raub, Tapah Perak, Kahang Johor dan Lipis.

Katanya, mereka menggunakan kenderaan masing-masing sehingga separuh perjalanan sebelum meredah sungai untuk ke kawasan yang dikatakan menjadi tumpuan pemancing kerana menjadi lubuk ikan dan udang.

“Mereka membuat keputusan untuk meninggalkan kenderaan di kawasan lapang dan meredah sungai dengan berjalan kaki kerana ketika itu air tidak tinggi. Bagaimanapun, hujan berterusan menyebabkan paras air naik mendadak sehingga tidak boleh dilalui.

“Ketua kumpulan itu Amir Rosdan Ramli membuat keputusan meminta bantuan pihak berkuasa kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini jika terus berada dalam hutan itu atau membuat keputusan meredah sungai,” katanya.

Amir Rosdan, 39, yang juga seorang guru membuat laporan polis pada 8 malam semalam menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 9.30 malam.

Bagaimanapun, operasi dihentikan pada 1 pagi semalam kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan sebelum bersambung semalam, melibatkan 39 pegawai dan kakitangan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sehubungan itu, Azry Akmar meminta mereka yang berhasrat melakukan aktiviti di kawasan hutan atau berhampiran sungai untuk menangguhkan rancangan itu sehingga keadaan cuaca benar-benar mengizinkan. – Bernama

The post 15 kandas di Hutan Berekit diselamatkan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?