95 maut, 158 cedera serangan bunuh diri guna ambulans di Kabul
KABUL, 11 Jamadilawal 1439H, Ahad – Sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh, manakala 158 lagi cedera apabila sebuah ambulans yang sarat dengan bom diletupkan pengebom bunuh diri di bandar ini, hari ini.
Puak militan Taliban mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu, yang ketiga dalam tempoh tujuh hari.
Pegawai Kementerian Dalam Negeri menyalahkan sekutu Taliban, militan Haqqani, yang menjadi dalang di sebalik serangan di beberapa bandar di Afghanistan.
Penyerang meletupkan bom yang diletakkan dalam ambulans berhampiran bangunan pejabat Kementerian Dalam Negeri Afghanistan yang dikawal ketat di pusat bandar Kabul pada tengah hari waktu tempatan.
Hospital Jamhuriat, pejabat kerajaan, pusat perniagaan dan sekolah di kawasan berdekatan ditutup selepas gegaran kuat itu.
Seorang saksi, Ahmed Naweed memberitahu, letupan itu dilakukan di antara dua pusat pemeriksaan keselamatan.
Pasukan keselamatan menyifatkan serangan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Media melaporkan, sebuah ambulans berhenti di pusat pemeriksaan pertama dan memberitahu mereka membawa pesakit ke hospital.
Ketika tiba di pusat pemeriksaan kedua, pengebom bunuh diri meletupkan bom dalam ambulans itu. Kejadian berlaku ketika orang ramai keluar untuk makan tengah hari.
Kejadian itu berlaku lebih seminggu selepas Taliban mengaku bertanggungjawab dalam serangan ke atas Hotel Intercontinental di Kabul yang menyebabkan 20 orang terbunuh, dan beberapa hari kemudian militan IS pula menyerang dan membunuh tiga orang di pejabat pertubuhan Save the Children di Jalalabad. – Agensi
The post 95 maut, 158 cedera serangan bunuh diri guna ambulans di Kabul appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan