Ahli perniagaan Arab Saudi bayar wang untuk pembebasan

RIYADH, 10 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Beberapa ahli perniagaan terkenal mencapai persetujuan dari segi kewangan dengan pihak berkuasa Arab Saudi selepas ditangkap dan dituduh terbabit dalam rasuah.

Mereka termasuk, pemilik rangkaian stesen televisyen MBC, Waleed al-Ibrahim; pemilik saham terbesar peruncit pakaian Fawaz Abdulaziz Alhokair Co, Fawaz Alhokair; bekas Ketua Hakim Mahkamah Diraja, Khalid al-Ruwaijiri; dan bekas Pengarah Agensi Meteorologi dan Perlindungan Alam Sekitar, Turki bin Nasser.

Bagaimanapun, jumlah wang bagi menyelesaikan kes itu tidak dinyatakan, kata sumber yang rapat dengan penangkapan itu.

E-mel yang dihantar kepada kakitangan MBC oleh Ketua Eksekutifnya, Sam Barnett menyatakan Waleed telah dibebaskan dan kini berada bersama keluarganya di Riyadh.

November lalu, di bawah arahan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, puluhan anggota keluarga diraja Arab Saudi, pegawai kerajaan dan ahli perniagaan ditangkap, atas tuduhan terbabit dalam rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Ketika pihak berkuasa menyediakan pertuduhan itu, pengkritik menuduh Putera Mahkota Mohammed memainkan peranan dan kempen menghalang dan mengekang pesainnya yang berpotensi menduduki takhta kerajaan Arab Saudi.

Semua yang ditangkap itu dikurung di Hotel Ritz-Carlton di Riyadh yang dijadikan penjara sementara.

Hujung November tahun lalu, Putera Miteb bin Abdullah, salah seorang putera diraja Arab Saudi paling kanan dan dilihat sebagai pesaing bagi menduduki takhta kerajaan Arab Saudi, dibebaskan setelah bersetuju membayar AS$1 bilion (RM3.87 bilion).

Awal minggu ini, Peguam Negara Arab Saudi memberitahu, pihak berkuasa masih menahan 95 orang, sementara 90 lagi dibebaskan setelah mencapai perjanjian membabitkan aset mereka manakala tuduhan ke atas sesetengahnya pula digugurkan.

Putera Mahkota Mohammed sendiri dituduh terbabit dalam rasuah dan mengamalkan hidup mewah. Pada 2015, beliau dilaporkan membeli sebuah kapal layar berharga AS$300 juta (RM1.162 bilion) dan tahun lalu membayar AS$400 juta (RM1.549 bilion) bagi memperoleh lukisan Leonardo da Vinci. – Agensi

The post Ahli perniagaan Arab Saudi bayar wang untuk pembebasan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian