Amerika dalam bencana kebakaran, angin sejuk beku, banjir lumpur
CALIFORNIA, 24 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Ribut membawa hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh ke kawasan selatan California dan menyeberangi Pergunungan Rocky dalam tempoh semalaman, sedang mengumpul kekuatan di Great Plains.
Great Plains secara geografi dimaksudkan sebagai wilayah yang merangkumi 10 negeri di Amerika Syarikat (AS) iaitu Montana; North Dakota; South Dakota; Nebraska; Wyoming; Kansas; Colorado; Oklahoma; Texas; dan New Mexico.
Salji, sehingga sekaki hingga enam kaki pula, mula membadai selatan Wyoming dan North Dakota. Sementara di selatan pula angin dengan kelajuan 68 batu sejam (109.4 kilometer/jam) melanda Midland di Texas, menghasilkan ribut debu sehingga menyebabkan penglihatan menjadi hampir sifar.
Banyak lagi negeri di AS dari Dakota hingga ke Mississippi, menuju ke Maine, mula diletakkan di bawah amaran dan pemerhatian berikutan salji, ais, banjir lumpur dan angin yang membawa kemusnahan.
Laporan menyebut sistem ribut itu bergerak melalui Great Plains dan sebahagiannya dari tengah kawasan selatan, membawa salji yang kuat.
Dan, menjelang pagi ini, ribut berkenaan akan membawa udara sejuk ke lembah Tennessee, Mississippi dan Ohio, serta akan mengubah hujan menjadi salji dan air. Hujan lebat dan beberapa ribut petir akan merebak ke Carolina dan berakhir di timur laut.
Menjelang petang dan malam ini pula, ribut itu akan membawa bersama keadaan lembab dari kawasan Gulf Coast dan Lautan Atlantik – sekali gus menguatkan lagi ribut itu – akan menurunkan salji serta ais dalam jumlah yang banyak di kawasan timur laut AS.
Ais yang pecah di Artik pula akan bergerak dari Great Plains ke arah timur laut dan selatan AS.
Udara sejuk yang mencengkam pula bergerak ke Midwest (wilayah utara Ohio ke Pergunungan Rocky), dan suhu sejuk paling buruk diramalkan berlaku pada malam Sabtu hingga Ahad di kawasan timur laut dan tenggara AS.
Setakat ini, bencana terbaharu banjir lumpur yang berlaku di California mengorbankan 12 orang, lapan masih hilang dan lebih 24 orang lagi cedera.
Bahagian selatan California ditenggelami banjir lumpur berikutan hujan lebat, kira-kira seminggu selepas kawasan itu terbakar.
Banjir kilat, bongkah batu dan lumpur melanda kawasan penempatan selepas kebakaran besar, menyebabkan puluhan anggota pasukan penyelamat dikerah ke tempat kejadian.
“Sekurang-kurangnya 28 cedera akibat ribut semalam. Ada juga yang dikhuatiri terbunuh dan tertimbus dalam lumpur,” kata jurucakap Jabatan Bomba Santa Barbara.
Ratusan orang sudah diselamatkan, kebanyakannya dikeluarkan dari kawasan banjir lumpur, menggunakan helikopter.
Sesetengah kediaman di kawasan perumahan Montecito pula roboh dan ada yang dihanyutkan. Kira-kira, 65 rumah dan lapan bangunan komersial dilaporkan musnah, manakala 446 rumah dan 20 bangunan komersial lagi rosak, kata jurucakap itu.
Ribut musim sejuk, yang termasuk sisa-sisa daripada ribut California, kini meningkat di tengah AS dan akan membadai banyak lagi kawasan di AS dalam tempoh 24 jam akan datang dengan salji, hujan dan angin kencang. – Agensi
The post Amerika dalam bencana kebakaran, angin sejuk beku, banjir lumpur appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan