‘Awas peluang kerajaan bentang semula pindaan Akta 164’

Keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin yang menyatakan keislaman tiga kanak-kanak adalah batal dan tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran ibu mereka, beri peluang kepada kerajaan

BANGI, 14 Jamadilawal 1439H, Rabu – Kebarangkalian kerajaan Barisan Nasional (BN) mengangkat semula Seksyen 88A Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164), semakin nyata, selepas keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin.

Sehubungan itu, PAS memberi amaran bahawa percubaan membawa semula Seksyen 88A itu ke Dewan Rakyat, bukan sahaja akan mencetuskan ketegangan, malah menyemarakkan kemarahan umat Islam.

“Justeru, kerajaan usah mencabar kesabaran umat Islam dengan bermain sentimen dalam hal ini. Inilah situasi yang telah kami duga sewaktu membantah Pindaan Akta 164 di Parlimen tempoh hari.

“Kebarangkalian Seksyen 88A kembali diangkat semakin nyata. Kerajaan dilihat terus menerus tunduk kepada pihak yang menentang Islam. Ini perkembangan yang sangat mendukacitakan bagi umat Islam.

“PAS juga,membantah keras pendirian kerajaan untuk mengemukakan semula pindaan Seksyen 88A yang telah ditarik balik dalam pindaan sebelumnya. Selain bersifat berat sebelah, pindaan seksyen berkenaan hanya menambahkan ketegangan kepada isu yang sedia ada,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketika pindaan Akta 164 dibentangkan di Parlimen pada Ogos tahun lalu, PAS telah kemukakan pendirian supaya kerajaan mempertimbangkan suatu bentuk sulh atau mediasi atau timbang tara bagi mewujudkan penyelesaian menang-menang yang lebih harmoni di antara kedua-dua belah pihak.

“Ini kerana kes-kes yang berlaku bukan sahaja boleh menyebabkan ketegangan agama, bahkan melibatkan kebajikan dan emosi kedua-dua belah keluarga khususnya anak-anak. Justeru, langkah ke arah pendamaian seharusnya diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketikamengulas keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin, bahawa penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibu mereka, M Indira Gandhi.

Pada November 2016, kerajaan membentangkan di Dewan Rakyat seksyen baharu dalam akta itu – Seksyen 88A – berkaitan penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan ibu bapa anak terbabit.

Pindaan Akta 164 yang diusulkan dalam bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan agama anak kepada pasangan yang bercerai kerana seorang daripada mereka memeluk Islam, kekal mengikut agama asal perkahwinan pasangan terbabit.

Bagaimanapun, selepas mendapat bantahan pelbagai pihak, kerajaan menarik balik rang undang-undang itu, ketika ia berada di peringkat bacaan kedua, tahun lalu.

“PAS mengambil pendirian untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai suatu badan yang berautoriti dan profesional dalam melaksanakan tugas kehakiman. Namun, PAS juga berpendirian isu ini memerlukan langkah penyelesaian jangka panjang yang lebih komprehensif demi mewujudkan keharmonian di antara dua institusi mahkamah di Malaysia,” katanya.

The post ‘Awas peluang kerajaan bentang semula pindaan Akta 164’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian