Baiah untuk hapus pengkhianat, kata Naib Presiden PAS

BANGI, 3 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, sumpah setia dan baiah yang dilaksanakan bertujuan memastikan pengkhianat rakyat dan parti itu dihapuskan.

Beliau berkata, secara nyata seseorang wakil rakyat boleh dianggap pengkhianat apabila menang pada pilihan raya ketika bertanding menggunakan logo parti pilihan rakyat, tetapi kemudiannya melompat ke parti lain.

“Orang yang langgar baiah ini atas dunia bolehlah bagi pelbagai alasan. Terpulang pada awak lah, dalami kesan lafaz itu, ia dilaknat Allah dan Rasul,” katanya.

Memetik laporan Sinar Harian hari ini, beliau berkata, PAS tidak menggunakan konsep denda sebagaimana dicadangkan parti tertentu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, semua calon PAS diwajibkan melakukan baiah untuk tidak melompat parti, selagi PAS terus berjuang pada landasan menegakkan al-Quran dan sunnah selaras dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun, bagi wakil rakyat PAS di Kelantan, selain baiah, mereka turut melafazkan taklik talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya melompat parti.

Sebelum ini, pendakwah bebas, Ustaz Abdul Naser Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Xifu Naser, menulis dalam akhbar yang sama mengatakan fenomena baiah kepada parti adalah perkara yang baharu.

Katanya, umat Islam dulu tidak berbaiah kepada parti, sebaliknya kepada satu personaliti yang bakal dilantik menjadi khalifah.

Beliau berkata, parti hanyalah alat dan umat Islam dulu tidak berbaiah kepada benda atau alat, sebaliknya kepada orang tertentu yang memegang kuasa pemerintahan.

“Contohnya, mungkin kita terbayang semua sahabat merupakan ahli satu parti politik Islam. Maka, terbayang setiap ahli sunnah membayar yuran ahli tahunan kepada parti Islam dan setiap ahli khawarij membayar yuran ahli kepada parti bidaah! Terbayang juga setiap ahli sunnah berbaiah kepada parti Islam yang dipimpin oleh para Sahabat. Semua ini imaginasi yang tidak berlaku.

“Kerana kita dipengaruhi oleh paradigma liberal, maka minda kita condong mentafsirkan kalimah-kalimah politik menurut falsafah liberal. Kita mentafsirkan kalimah ‘jemaah’ atau ‘hizb’ sebagai ‘parti’. Kita bayangkan hizbul Islam atau jemaah Islam seolah-olah ia parti politik yang berdaftar bawah pendaftar persatuan!

“Wujud percanggahan bila kita tolak falsafah liberalisme tetapi pemahaman kita tentang konsep jemaah adalah berdasarkan falsafah liberal tentang parti. Para sahabat tidak berbaiah kepada sesuatu yang tidak jelas dan bersifat syubhah seperti parti atau kepimpinan parti. Siapa itu parti? Tiada nama personaliti disebut. Parti adalah alat yang dikontrol oleh nafsu presiden parti dan kroni-kroninya,” kata Xifu Naser.

The post Baiah untuk hapus pengkhianat, kata Naib Presiden PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian