Bank Negara naikkan kadar dasar semalaman kepada 3.25 peratus

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilawal 1439H, Khamis – Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) berikutan ia memutuskan untuk mengembalikan dasar monetari ke paras yang wajar dengan ekonomi negara berada pada landasan pertumbuhan yang menggalakkan.

“Kadar koridor terendah dan tertinggi bagi OPR, masing-masing dinaikkan kepada 3.00 peratus dan 3.50 peratus,” menurut bank pusat itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kali terakhir BNM mengubah kadar utamanya pada Julai 2016 apabila ia mengurangkan 25 mata asas.

“Pada masa sama, MPC menekankan perlunya tindakan awal diambil untuk memastikan pendirian dasar monetari adalah wajar untuk membendung peningkatan risiko yang mungkin timbul daripada kadar faedah yang terlalu rendah untuk tempoh masa yang lama,” katanya.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif, katanya, sambil menambah MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Katanya, ekonomi global terus bertambah kukuh dengan pertumbuhan kini lebih mantap dan segerak merentas rantau, manakala perdagangan global terus mencatat prestasi pertumbuhan yang kukuh.

“Ekonomi global diunjurkan mencatat pertumbuhan yang lebih pantas pada 2018. Dalam persekitaran ini, risiko kepada prospek pertumbuhan global adalah lebih seimbang, menunjukkan ekonomi global yang terus berkembang pada masa ini,” katanya.

Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini mengesahkan pengukuhan eksport dan aktiviti dalam negeri.

“Melangkah ke hadapan, momentum pertumbuhan yang teguh ini dijangka berterusan pada 2018, disokong oleh pertumbuhan global yang lebih mantap dan limpahan positif daripada sektor luaran kepada ekonomi dalam negeri.

“Permintaan dalam negeri akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan berikutan keadaan pendapatan dan pasaran pekerja yang menggalakkan,” katanya.

Prospek aktiviti pelaburan juga positif, hasil dorongan daripada projek infrastruktur baharu dan sedang dalam pelaksanaan dan juga perbelanjaan modal oleh firma berorientasikan eksport dan dalam negeri, kata BNM.

Sektor luaran akan memberikan dorongan tambahan kepada ekonomi. Secara keseluruhan, pertumbuhan dijangka kekal kukuh pada 2018.

Inflasi keseluruhan berpurata pada 3.7 peratus pada 2017. Purata inflasi diunjurkan lebih rendah pada 2018, berikutan jangkaan kesan daripada faktor kos global yang semakin berkurangan.

Ringgit yang semakin kukuh berbanding 2017 akan mengurangkan kos import, katanya.

Pada 3.25 petang, ringgit berada pada 3.8950/9000 berbanding dolar US. Ia dibuka pada 3.9010/9040 berbanding dolar US daripada 3.9110/9140 semasa ditutup pada Rabu.

“Harga tenaga dan komoditi dunia dijangka meningkat lebih tinggi pada 2018. Bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan bergantung pada harga minyak dunia yang akan datang, yang masih amat tidak menentu,” kata BNM.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, juga sederhana. Pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan.

Ringgit semakin kukuh, mencerminkan asas-asas ekonomi yang bertambah teguh. Mudah tunai sistem perbankan terus mencukupi dan institusi kewangan beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, katanya sambil menambah pembiayaan kepada sektor swasta terus meningkat dan menyokong aktiviti ekonomi. – Bernama

The post Bank Negara naikkan kadar dasar semalaman kepada 3.25 peratus appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian