Batal Islam kanak-kanak: Keputusan Mahkamah Persekutuan beri kesan bahaya

1. Saya membaca Press Summary terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi semalam, justeru, komen saya adalah semata-mata berasaskan kepada rumusan dalam dokumen tersebut, memandangkan Alasan Penghakiman Penuh belum tersedia untuk diakses awam.

2. Intipati keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini menetapkan bahawa seseorang yang telah berkahwin dan mempunyai anak, jika dia ingin memeluk agama Islam, maka sebelum dia hendak menukar agama anaknya untuk sama-sama memeluk Islam, dia perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada pasangannya yang bukan Islam itu.

Mahkamah nampaknya semalam memilih untuk menyimpang daripada keputusan Mahkamah Persekutuan yang terdahulu dalam kes Subashini Rajasingam v. Saravanan Thangothoray Other Appeals [2008] 2 CLJ 1, di mana pada ketika itu mahkamah menetapkan bahawa perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan adalah merujuk kepada ibu atau bapa (mana-mana seorang), dan tidak semestinya kedua-dua ibu dan bapa bersekalian.

3. Kesan dan natijahnya amat berbahaya ke atas hak beragama seseorang yang ingin memeluk agama Islam. Perkara 12(4) memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya. Bermaksud, seseorang ibu atau bapa adalah mempunyai hak yang sama rata untuk menentukan agama dan pendidikan agama anaknya.

Tetapi apabila Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan bahawa persetujuan bersama diperlukan, ini menyukarkan proses seseorang mualaf untuk memeluk Islam, kerana nanti, sebelum dia dapat menukar agama anaknya, dia perlu terlebih dahulu mendapatkan persetujuan daripada pasangannya yang masih belum memeluk Islam pula. Hal ini sama seperti memberikan kuasa veto kepada pasangan bukan Islam dalam penentuan agama anak.

4. Pada kebiasaannya, apabila seseorang itu memeluk Islam, dan pasangannya memutuskan untuk tidak memeluk Islam, perkahwinan di antara mereka perlu dibubarkan. Pasangan yang sedang dalam proses untuk mendapatkan perceraian atau pembubaran perkahwinan, sudah tentu sukar untuk sekata dalam sesuatu keputusan seperti penetapan agama anak.

5. Justeru, apabila Mahkamah mengatakan keputusan bersama di antara ibu dan bapa diperlukan sebelum agama anak boleh ditukarkan – walaupun pada permukaannya nampak seperti adil – tetapi sebenarnya sama seperti menafikan hak mualaf untuk sama-sama menentukan agama anaknya. Kerana keputusan bersama hampir mustahil boleh dicapai, jika pada ketika itu kedua-dua suami dan isteri sedang dalam proses perceraian dan ada kalanya tidak lagi bercakap di antara satu sama lain, melainkan melalui peguam masing-masing.

6. Saya masih fikir keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu dalam kes Subashini adalah yang terbaik, kerana mengambil kira kepentingan kesemua pihak. Dalam kes itu, penghakiman minoriti oleh Yang Arif Aziz Mohamed amat bijaksana, di mana beliau mengatakan bahawa apabila hak diberikan kepada salah seorang ibu atau bapa untuk menukar agama anaknya, itu tidaklah bermaksud pasangan yang tidak memeluk Islam itu tidak mempunyai hak untuk membantah, jika anaknya ditukarkan agamanya.

Y.A Aziz mengatakan bahawa pasangan bukan Islam itu juga mempunyai hak untuk membantah, dan jika dia bantah, maka perkara itu akan dibawa ke mahkamah untuk penentuan muktamad, sama ada penukaran agama itu adil atau tidak, berasaskan kepada fakta-fakta keseluruhan kes, dan berasaskan kepada kepentingan kanak-kanak tersebut.

Justeru, dalam hal ini, hak sama rata diberikan kepada semua – hak kepada Mualaf yang baru memeluk Islam untuk menentukan agama anaknya, dan juga hak pasangannya yang bukan Islam untuk membantah – serta tak dilupakan kepentingan kanak-kanak itu sendiri, yang kesemuanya akan diambil kira.

7. Berbeza dengan keputsuan Mahkamah Persekutuan semalam, yang menetapkan bahawa persetujuan bersama wajib diperoleh terlebih dahulu sebelum agama anak dapat ditukarkan. Hal ini bererti, jika seseorang mualaf ingin menukarkan agama anaknya, dia tidak boleh berbuat demikian, walaupun melalui permohonan di mahkamah, kerana pasangannya yang bukan Islam mempunyai kuasa veto dalam hal ini.

Bahkan jika mualaf tersebut memfailkan kes di mahkamah, kesnya itu akan ditolak oleh hakim tanpa didengar meritnya, kerana tidak memenuhi keperluan ‘persetujuan bersama’.

8. Walaupun saya tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, (dan saya fikir ia keputusan yang khilaf dari segi undang-undang keperlembagaan), tetapi saya tetap menghormati keputusan tersebut, kerana pada akhirnya, keputusan mahkamah tetaplah mengikat dan mesti dihormati dan dipatuhi.

Wajar diambil perhatian bahawa keputusan mahkamah semalam turut menyentuh beberapa kelompongan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri, terutamanya berkait tatacara memeluk agama Islam bagi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Hakikat bahawa dalam enakmen di negeri Perak memperuntukkan bahawa seseorang kanak-kanak itu wajib mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum dia boleh didaftarkan sebagai Islam, sebenarnya memberikan kerumitan jika kanak-kanak tersebut masih terlalu muda, dan belum boleh bercakap, apatah lagi hendak bersyahadah.

Peruntukan seperti ini dalam enakmen negeri-negeri gagal mengambil kira sifat dan kejadian kanak-kanak yang sememangnya secara fitrah adalah Islam. Justeru, kelompongan-kelompongan ini perlu diperbaiki, dan dipinda jika perlu, bagi memperkukuhkan lagi tatacara pentadbiran Islam di negeri-negeri.

9. Akhir sekali, umat Islam di negara ini perlu bersabar, dan berusaha melalui jalan-jalan perundangan yang sah, untuk kita perbetulkan kembali keputusan Mahkamah Persekutuansemalam, yang pada fikiran saya adalah keputusan yang khilaf.

Aidil Khalid
Pengamal undang-undang

The post Batal Islam kanak-kanak: Keputusan Mahkamah Persekutuan beri kesan bahaya appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian