Berpolitik secara taktikal

KETUA Wanita ultra kiasu PKR nampaknya begitu bongkak mengeluarkan kenyataan, sanggup meninggalkan kawasan yang dimenangi, Parlimen Ampang, mahu beralih bertanding di kawasan yang dimenangi PAS sebelum, iaitu Parlimen Hulu Langat. Nasihat saya, tidak payah susah-susah pergi ke kawasan lain.

Fokus sahaja di kawasan Parlimen Ampang yang telah dimenangi selama dua penggal. Manalah tahu mungkin ketua wanita tersebut boleh bertembung dengan saya, dengan syarat, PAS dan UMNO jangan bertandinglah, bagi laluan kepada saya. Gurau sahaja.

Saya hairan, wanita ultra kiasu ini begitu yakin di mana sahaja beliau bertanding, dia akan menang. Tidakkah beliau sedar bahawa di Parlimen Ampang yang ditandingi sebelum ini, undi PAS telah banyak memberikan kemenangan kepadanya?

Begitu juga jawatan Menteri Besar Selangor dan lain-lain? Kenapa mudah lupa diri setelah mendapat kawan baharu? Kuat sangatkah PKR hari ini, termasuk di Parlimen Ampang? Kawasan Ampang adalah tempat tinggal saya selama hampir 30 tahun. Saya sudah masak dengan politik di sana.

Kebelakangan ini, sejak PAS berpecah, kumpulan serpihan PAS menubuhkan PAN, PKR menjadi semakin berani dan bongkak. Sebelum itu, cakap mereka agak berlapik. Kini, tidak lagi. PKR nampak begitu celupar dan amat yakin dengan undi Cina dan PAN yang memihak kepada mereka, maka akan menanglah ia. Ingatan saya, belum tentu lagi.

Ini terpulanglah kepada strategi UMNO dan PAS. Saya ingin mengulangi apa yang saya cadangkan sebelum ini. UMNO dan PAS, salah satu, mesti mengundur diri supaya hanya berlaku pertandingan dua penjuru. Jika bukan pun dalam bentuk kerjasama, pendekatan saling faham memahami perlu dilakukan atau pendekatan faham-faham sahajalah. Saya fikir itu adalah lebih baik demi masa depan negara ini daripada jatuh kepada ultra kiasu atau musuh Islam.

UMNO tidak perlu kacau kawasan yang telah dimenangi PAS dan PAS tidak perlu kacau kawasan yang dimenangi UMNO. Lagi pun UMNO hari ini sedang tenat dilanda kontroversi, termasuk terbaharu isu Felda. Tidak ada sesiapa yang boleh menyelamatkan UMNO pada hari ini, melainkan PAS.

UMNO jangan ingat atau terlebih perasan, dengan berpecahnya PAS, memberi keuntungan kepada mereka. Pun belum tentu lagi. Sebaliknya, berpolitiklah secara matang sebelum terlambat.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), adalah PRU untuk kita melakukan muhasabah diri. Berpolitik secara matang seperti yang dilaung-laungkan oleh PAS. Lupakanlah apa yang telah berlaku, lihatlah ke hadapan, mendepani masa akan datang. Masa depan agama dan negara lebih besar daripada parti.

Dulu lain, sekarang lain. Politik mengambil kesempatan di atas kelemahan rakan dan musuh hendaklah dilupakan. Apatah lagi sebangsa dan seagama. Fikirkanlah bersama apakah jalan terbaik untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara.

Jika PKR dan PAN tidak berfikir ke arah itu, parti lain yang dianggotai majoriti umat Islam seperti UMNO dan PAS, mesti berfikir ke arah itu. Sama ada diterima rakyat atau tidak, sebenarnya kita tidak ada pilihan, kerana majoriti dan minoriti antara Islam dan bukan Islam tidak besar seperti di Brunei dan Indonesia.

Jika MCA dan Gerakan pun boleh bersama atas nama bangsa Cina baru-baru ini, kenapa kita sesama Islam, sebangsa dan seagama, tidak boleh? Dan terus membiarkan perpecahan ini menghantui kita? Apabila saya menggunakan perkataan kita, itu bukan bermakna saya orang Melayu. Tetapi saya sayangkan Melayu itu sebab kita seagama.

Saya akui, UMNO bukanlah pilihan yang terbaik dengan kontroversi yang melanda sejak kebelakangan ini, tetapi kita tidak mempunyai banyak pilihan. Pilihan terbaik masih lagi UMNO dan PAS. Jika tidak UMNO pun, maka alternatifnya adalah PAS, tetapi bukan PKR dan PAN yang sangat nyata menjadi tunggangan ultra kiasu DAP.

Jika bukan PKR dan PAN, termasuk PPBM, tidak boleh diharap untuk mempertahankan Melayu dan Islam, apa pilihan yang ada? UMNO dan PAS? Jika ada yang lebih baik, sudah tentu saya akan pilih selain daripada keduanya, tetapi inilah pilihan yang ada.

Saya teringat pepatah orang putih, the lesser of two evils atau a choice between two evils. Kita dapat lihat dengan mata kepala sendiri. Ya, tidak dinafikan bahawa kerajaan Selangor (PKR), Pulau Pinang (DAP) dan Kelantan (PAS), sedikit baik integritinya berbanding dengan kerajaan negeri lain.

Namun, bagaimana dengan nasib Melayu dan Islam di Pulau Pinang? Saya tidak kata, nasib Melayu dan Islam terjaga dengan baik di negeri yang lain. Sekadar memberikan peruntukan yang lebih kepada masjid, surau, sekolah agama dan institusi agama Islam yang lain oleh kerajaan ultra kiasu, itu tidak bermakna pembangunan Islam menjadi lebih baik?

Ultra kiasu terpaksa melakukan sedemikian rupa bagi memikat hati orang Melayu Islam untuk mengundi dan menyokongnya pada masa akan datang dari segi strategi. Bayangkah setelah dapat kuasa, mereka terus memingkirkan orang Melayu Islam, sudah tentu Melayu Islam akan mengamuk marah.

Namun, ultra kiasu sangat memahami psiki Melayu Islam. Maka dibelai dan digula-gulakan Melayu Islam untuk melembutkan hati mereka. Kita pun tergoda dan mudah lupa.

Saya ingin mengingatkan orang Melayu Islam, bantuan itu adalah hak yang sepatutnya Melayu dan Islam dapat. Sudah termaktub di dalam Perlembagaan. Jika tidak termaktub pun, pada saya, itu masih dalam lingkungan hak mereka kerana ini negara asal usul mereka. Hak Melayu Islam tidak boleh disamaratakan dengan bukan Islam.

Seperti yang saya kerap ulangi, menyamaratakan bantuan kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama dengan Sekolah Jenis Kebangsaan adalah tidak adil. Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama itu adalah hak, berbanding dengan sekolah vernakular yang sekadar hanya ehsan.

Bermaksud, jika kerajaan memberikan bantuan kepada sekolah vernakular, itu adalah toleransi yang tidak ada tolok bandingnya, kerana itu bukanlah hak, tetapi sekadar ehsan. Berterima kasihlah, kerana tidak ada kerajaan di dunia ini yang melakukan sedemikian, melainkan Malaysia yang tercinta ini.

Sama juga bantuan kepada agama-agama lain tidak boleh disamaratakan dengan bantuan kepada agama Islam. Untuk Islam itu adalah hak kepada yang berhak, untuk agama lain, adalah ehsan dan toleransi. Jika tidak ditunaikan pun kepada bukan Islam, itu masih lagi berada dalam ruang lingkup adil.

Buatlah perbandingan dengan negara lain. Misalnya di India, pembinaan rumah ibadat dan penyelenggaraan dilakukan oleh individu. Kerajaan hanya memberikan bantuan pada tahap yang terlalu minima. Bandingkan dengan kerajaan Malaysia hari ini.

Bukan Islam amat beruntung, dua-dua belah pihak makan, bantuan kerajaan negeri dapat dan Kerajaan Pusat pun dapat. Bertambah moncah apabila Kerajaan Pusat melalui agensi negeri (ICU dan JPP) turut membantu rakyat bagi negeri di bawah kerajaan pembangkang. Masih tidak bersyukur lagi atau mahu saya buktikan satu persatu?

Justeru, saya mohon seluruh rakyat Malaysia terutama, Melayu Islam, berfikirlah secara matang dan jangan terlalu beremosi. Tolak PKR dan PAN yang terlalu bongkak dengan undi Cina yang mereka terlalu yakin berpihak kepadanya dalam mencapai kemenangan PRU14. Sebaliknya, berpolitiklah secara matang untuk survival agama, bangsa dan negara.

Untuk UMNO dan PAS, gunakanlah taktikal politik atas dasar saling memahami supaya hak Melayu dan Islam terjaga. Politik UMNO dan PAS amat penting dalam mendepani hasrat anak-anak muda Melayu. Berpolitiklah secara matang.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Berpolitik secara taktikal appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian