Bila wanita menjadi mangsa dadah

ISU wanita menjadi mangsa dadah tidak banyak dikupas dengan mendalam di paparan media sebelum ini. Mungkinkah kerana masyarakat memandang ia sebagai satu isu retorik? Atau mungkin kerana penagihan dadah lebih sinonim dengan kaum lelaki.

Statistik yang dikeluarkan oleh AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan)menunjukkan peningkatan penagihan dadah dikalangan wanita daripada 1.8 peratus pada tahun 2009 kepada 3.8 peratus pada tahun 2015.

Malah terbaru kisah wanita beranak lapan yang ditahan berulangkali akibat dadah telah mendapat liputan berita. Jelas, ia adalah satu tanda bahawa isu ini semakin serius dan membarah dalam masyarakat kita.

Walaupun mengikut statistik wanita adalah minoriti dikalangan penagih dadah tetapi banyak kajian telah membuktikan wanita mempunyai risiko lebih tinggi berbanding lelaki dalam mendapat kesan buruk dan komplikasi akibat penagihan.

Wanita sebagai bekas penagih juga berdepan dengan konflik dan stigma masyarakat yang lebih kuat berbanding lelaki. Kurangnya sistem sokongan, pantauan berterusan selepas proses pemulihan menyebabkan mereka kembali menagih dadah.
Benar, tidak mudah untuk merawat masalah ini!

Kita harus sedari bahawa wanita adalah tunjang keharmonian dan kesejahteraan sesebuah keluarga dan masyarakat. Ibarat pepatah, rosak wanita maka tumbanglah negara. Permasalahan wanita di dalam isu dadah ini harus dilihat sebagai satu ancaman kepada masa depan negara.

Tanggungjawab sebagai ibu dan sebagai isteri terjejas teruk bila wanita bergelumang dengan dadah, melahirkan anak-anak yang tidak mendapat sentuhan ibu yang sewajarnya, terdedah kepada masalah kebejatan sosial, pelacuran dan penagihan dadah itu sendiri. Masalah sosial kita akan membiak sekiranya isu ini terus dibiarkan berlarutan.

Dari aspek kesihatan, wanita yang mengambil dadah lebih berisiko menghidap masalah kesihatan berbanding penagih lelaki.

Satu kajian yang dilakukan oleh Gilchrist di Sepanyol pada 2011 membuktikan penagih wanita cenderung untuk mendapat penyakit psikiatri seperti kemurungan dan psikosis, malah juga jauh lebih mudah dijangkiti HIV berbanding lelaki.

Kemurungan yang dihadapi juga lebih sukar untuk dirawat kerana berkait rapat dengan kesan dadah yang telah mengubah keseimbangan hormon di dalam otak mereka. Tidak juga dilupakan beberapa kes yang dilaporkan diluar negara wanita mengalami kemurungan selepas bersalin juga berpunca daripada penagihan dadah.

Bagi anak yang dilahirkan oleh ibu yang mengambil dadah pula mereka amat berisiko mendapat kesan daripada dadah tersebut dan boleh membawa maut, gejala ini disebut “ Neonatal Abstinence Syndrome”.

Di satu sudut yang lain, Margot Sunderland penulis buku “ The Science of Parenting” menerangkan kesan kritikal yang berlaku antara hubungan penagih wanita dan anak yang baru dilahirkan.

Kebanyakan ibu ini akan mengalami kesukaran untuk menangani anak kecil kesan daripada ketidakseimbangan emosi dan kognitif mereka daripada penagihan dadah. Hasilnya, perkembangan otak dan emosi anak terbantut dan menjadi negatif.

Anak dibesarkan dalam keadaan terabai yang seterusnya mengesani psikologi kanak-kanak ini sehingga sukar untuk mengawal kemarahan, rasa tidak puas hati, sikap agresif dan kurang perasaan empati.

Semua ini adalah antara penyebab mengapa anak-anak yang lahir dalam latar belakang gelap begini mudah terdedah kepada masalah sosial seperti buli, penyalahgunaan dadah, bunuh, rogol dan sebagainya.

Semestinya semua ini akan memberi impak kepada kesihatan umum masyarakat dan menambah kos rawatan dan liabiliti kepada negara dan masyarakat.

Mengapa wanita terlibat dengan dadah? Sebagai seorang wanita saya juga sering melontarkan persoalan ini. Mengenali fitrah wanita yang berjiwa halus dan kurang cenderung kepada aktiviti berisiko, dapat disimpulkan bahawa wanita terlibat dengan dadah kerana faktor-faktor kritikal yang sangat mempengaruhi jiwa dan kehidupan mereka.

Kajian terdahulu berjaya membuktikan kemiskinan, tekanan hidup dan kancah pelacuran merupakan faktor terbesar yang menjerumus wanita ke dalam kancah dadah. Namun di dunia moden hari ini memperihatkan kita trend terbaru di mana berlakunya peningkatan bilangan penagih dadah dikalangan wanita elit dan berpelajaran tinggi.

Tidak ketinggalan peratusan yang meningkat dari kalangan remaja dan belia. Jelas, jika dahulu ramai wanita terlibat secara ‘ paksa rela’ dek kepayahan hidup, membesar didalam kelompok pelacuran dan dadah, namun hari ini ramai juga wanita yang merelakan diri untuk memilih dadah!

Dunia moden telah mengubah dadah sebagai entiti mudah diperolehi, tidak berbahaya dan jalan pintas kepada melepaskan tekanan hidup. Remaja dan belia seawal usia telah terdedah dengan penagihan gam, ‘pil ecstasy’ di pusat hiburan.

Malah satu trend yang lebih merisaukan adalah ada segelintir wanita menggunakan ecstasy sebagai pil ‘langsing’ dan dadah sebagai modal kecantikan diri. ( Marican, Mohamed & Rosnah Ismail (2007)

Rawatan dan pencegahan harus diambil dengan segera untuk menyelamatkan generasi wanita kita hari ini. Amat menggerunkan bila memikirkan wanita muda kita hari ini semakin ramai berjinak-jinak dengan dadah, mampukah mereka keluar dari kancah penagihan ini? Bagaimana dengan generasi anak-anak yang lahir kemudiannya?

Masalah rumahtangga yang bercerai berai, pengabaian anak-anak, dan seterusnya anak-anak bergelumang dengan masalah buli, hidu gam, dadah, dan kes bunuh..Apakah ini yang kita mahukan dalam masyarakat kita nanti?

Persoalannya dimana kita harus bermula. Jelas, tidak ada satu jalan yang efisien dan mudah untuk kita laksanakan. Ia adalah peranan setiap dari kita bukan hanya kerajaan, NGO dan badan berkuasa.

Peningkatan statistik menunjukkan kita tidak boleh lagi bergantung kepada langkah pembasmian dari kerajaan & badan berkuasa semata, tetapi kita sebagai ahli masyarakat harus memainkan peranan yang lebih serius. Satu pendekatan holistik harus dimainkan oleh semua.

Sebagai individu, kita harus menyedari keseriusan masalah ini. Ibu bapa harus benar-benar berfungsi dan mendekati anak-anak. Penekanan aspek agama adalah kunci kepada ibu permasalahan kita, ajarlah anak untuk solat dan sentiasa berbalik kepada solat dan sabar dalam mencari ketenangan hati dalam berhadapan dengan tekanan hidup.

Selari dengan firman Allah, “ Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat.” (Surah al -Baqarah : 45).

Sebagai ahli masyarakat, kita juga harus memainkan peranan. Berhentilah mendokong seks bebas, pesta bebas, kelab-kelab hiburan dan aktiviti berisiko yang lain seperti LGBT,rokok, mengambilan ketum dan sebagainya. Buat para wanita, libatkan diri anda dengan aktiviti yang produktif, kumpulan yang membina diri dan hidup positif.

Dalam waktu yang sama kita mengharapkan sistem pemulihan yang lebih ekslusif dan berfokus kepada para wanita. Sistem sokongan untuk membantu bekas penagih memulakan hidup, rawatan dan sokongan psikologi untuk menghindari ‘post addiction depression’ dan ‘relapse’. Kita harus mengubah stigma kepada bekas penagih dan membina sistem sokongan yang lebih membantu.

Ingatlah, pemodenan negara tidak seharusnya menenggelamkan masyarakat kita dalam gelumang kebejatan sosial. Pesta bebas, parti, kelab hiburan bukanlah kayu ukur kepada urbanisasi masyarakat, sebaliknya kekuatan jati diri sebagai ahli timur yang berprinsip, bermaruah dan kuat spiritual, emosi dan intelek adalah kunci utama kepada pembangunan sesebuah tamadun.

Hindari gaya hidup berisiko, usah dekati dadah, dan marilah menjadi masyarakat bergaya hidup sihat!

Dr Nadiah Binti Norudin
Unit Kawalan Ketagihan Dadah I Medik

Rujukan:
1. Mohamed Harith, Yarina Binti Ahmad (dr), Sitizulaikhamustapha, 2017; Women And Drug Abuse In Malaysia: A Marginalized Clients Of Drugs Treatment And Rehabilitation, International Journal For Studies On Children, Women, Elderly And Disabled, Publisher International Journal of Children, Women, Elderly and Disable People (IJCWED eISSN 0128-309X), pageno : 40, vol : 1,issues : 1
2. Lori E. Ross and Cindy-Lee Dennis. Journal of Women’s Health. April 2009, 18(4): 475-486.http://ift.tt/2ARt17i
3. Quinlivan, J. & Evans, S. Arch Womens Ment Health (2005) 8: 191. “Impact of domestic
violence and drug abuse in pregnancy on maternal attachment and infant temperament in teenage mothers in the setting of best clinical practice” http://ift.tt/2D5aoTu
4. The prevalence of postpartum depression among women with substance use, an abuse history, or chronic illness: a systematic review: Citation. Ross LE, Dennis CL.
5. Agensi Anti Dadah Kebangsaan. (2016).Laporan tahunan dadah 2015. Retrieved 2016,from http://ift.tt/2ARAfbw laporan dadah/2015/ Laporan %20tahunan %20Dadah %%202015.pdf Agensi Anti Dadah Kebangsaan. (2015). Laporan tahunan dadah 2014. Retrieved 2015,from http://ift.tt/2ARAfbw laporan dadah/2014 /Laporan %20tahunan %20Dadah%%202014.pdf
6. Margot Sunderland; “ The Science of Parenting”; 2nd version published in 2016
7. Gail Gilchrist, Alicia Blazquez and Marta Torrens, ‘Psychiatric, Behavioral and Social Risk Factors for HIV Infection Among Female Drug Users’ (2011) 15(8) AIDS and Behavior 1834

The post Bila wanita menjadi mangsa dadah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian