Buku teks bahasa Inggeris Super Minds dipertikai, kerajaan diminta kaji semula

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 20 Rabiulakhir 1439H, Ahad – Kementerian Pendidikan digesa supaya mengkaji semula pelaksanaan penggunaan buku teks bahasa Inggeris yang diimport bagi kegunaan murid sekolah rendah khususnya Tahun Satu dan Tahun Dua.

Timbalan Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) ISMA Gombak, Noorhafizah Ismail berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada kebanyakan ibu bapa yang mempertikaikan keberkesanan penggunaan buku teks berkenaan.

Menurut Noorhafizah, beliau akui memuji konsep baharu yang cuba diketengahkan kerajaan melalui kandungan buku teks berbentuk santai khususnya bagi murid di peringkat sekolah rendah.

Bagaimanapun beliau akui masih berasa bimbang dengan kandungan yang dimasukkan di dalam buku teks tersebut, apabila dilihat kurang sensitif terhadap budaya masyarakat Asia khususnya orang Islam di Malaysia.

“Saya sendiri sebagai ibu yang mempunyai anak berusia 8 tahun (Darjah 2), tak menafikan kandungan buku teks itu lebih santai seperti buku cerita yang diimport.

“Namun, format santai itu juga sebenarnya tidak begitu berperanan membantu murid pandai berbahasa Inggeris, sekiranya latarbelakang keluarga mereka bukan menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa pertuturan di rumah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Penggunaan buku teks bahasa Inggeris yang diimport itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian melaksanakan kurikulum selaras dengan Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR), iaitu panduan yang dibangunkan oleh Majils Eropah untuk mengukur kecekapan bahasa asing.

Penggunaan buku teks itu dimulakan dengan murid di peringkat prasekolah, murid Tahun Satu dan Tahun Dua serta Pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua.

Murid sekolah rendah akan menggunakan Super Minds dari Cambridge University Press, manakala peringkat pelajar menengah pula adalah Pulse 2 MacMillan.

Mengulas lanjut Noorhafizah berkata, seawal usia sekolah rendah, pastinya visual sangat berperanan menarik perhatian murid untuk belajar.

“Dan itu yang membimbangkan, konsep santai dengan dipenuhi visual dalam kandungan buku teks berkenaan tidak melambangkan budaya serta agama kita.

“Malah, pastinya kita perlu maklum apabila kandungan yang diimport daripada negara luar, sudah pastinya mereka tidak akan menulis mengenai budaya Malaysia. Jadi, apakah kita mahu lebih mendedahkan anak-anak kita dengan budaya United Kingdom berbanding Malaysia?,” soalnya.

Menerusi beberapa muka surat buku teks berkenaan yang dikongsikan kepada Ismaweb.net, mendapati terdapat kandungannya yang mempromosikan sambutan perayaan Barat seperti Krismas dan pesta Halloween.

Malah, kebanyakan kandungannya juga lebih memberi contoh berkaitan dengan budaya serta amalan rakyat di negara Barat.

The post Buku teks bahasa Inggeris Super Minds dipertikai, kerajaan diminta kaji semula appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?