Buku teks CEFR tak sesuai dengan budaya, adat Malaysia
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 21 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Penggunaan buku teks Bahasa Inggeris (BI) yang diimport, tidak sesuai diadaptasi di negara ini, kerana kandungannya tidak selari dengan budaya dan adat resam tempatan, kata Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru).
Penggunaan buku teks BI adalah usaha Kementerian Pendidikan melaksanakan kurikulum selaras dengan Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR), untuk mengukur kecekapan bahasa asing.
Bagaimanapun, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hassan berkata, isunya bukan soal bahasa, tetapi kandungan bahan buku teks berkenaan tidak bersesuaian dengan budaya dan adat resam tempatan.
Memberi contoh, katanya, perayaan Hallowen, Easter, penggunaan nama, watak dan lokasi serta ilustrasi Monster dalam buku teks berkenaan tidak bersesuaian dengan nilai dan budaya kita.
“Kandungan bahan sepatutnya berpandukan kepada nilai dan budaya Malaysia agar mudah difahami kerana ia dapat dilihat setiap hari.
“iGuru bimbang generasi pelajar hilang semangat patriotisme dan menerima budaya baru yang diimport dari luar, terutama anak-anak yang masih di peringkat sekolah rendah. Ini boleh menghakis jati diri pelajar tersebut untuk mencintai negara dan budaya sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Ismaweb.net melaporkan menerima banyak rungutan daripada kebanyakan ibu bapa yang mempertikaikan keberkesanan penggunaan buku teks berkenaan.
Menerusi beberapa muka surat buku teks berkenaan yang dikongsikan, ada kandungannya yang mempromosikan sambutan perayaan Barat seperti Krismas dan pesta Halloween.
Malah, kebanyakan kandungannya juga lebih memberi contoh berkaitan budaya serta amalan rakyat di negara Barat.
Sehubungan itu, Ustaz Azizee berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pengembangan Kurikulum perlu mengkaji semula dan menggubal buku teks BI yang bersesuaian dengan budaya tempatan dan bercirikan Malaysia.
Katanya, KPM boleh mengambil konsep CEFR, tetapi perlu disesuaikan dengan menggubal buku teks mengikut realiti Malaysia.
“Selama ini pelajar yang mengikuti kurikulum English telah berjaya menguasai bahasa Inggeris dan belajar di universiti di luar negara,” katanya.
Penggunaan buku teks itu dimulakan dengan murid di peringkat prasekolah, murid Tahun Satu dan Tahun Dua serta pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua.
Murid sekolah rendah akan menggunakan Super Minds dari Cambridge University Press, manakala peringkat pelajar menengah pula adalah Pulse 2 MacMillan.
The post Buku teks CEFR tak sesuai dengan budaya, adat Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan