Dakwaan 50,000 akan dibuang kerja tahun ini tak tepat: MITI

KUALA LUMPUR, 22 Rabiulakhir 1439H, Selasa – Dakwaan beberapa pihak bahawa 50,000 pekerja akan diberhentikan tahun ini, terutama disebabkan oleh peningkatan kos menjalankan pekerjaan adalah tidak tepat, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perubahan dalam struktur teknologi dan perindustrian yang mengakibatkan penggantian pekerja adalah ciri-ciri ekonomi dipacu pengetahuan, walaupun dalam keadaan ekonomi yang baik, dan ini juga berlaku di Malaysia ketika negara beralih daripada ekonomi berintensifkan buruh kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Meskipun akan ada pemberhentian pekerja, pada pandangan kami kebanyakan pekerja yang diberhentikan akan diambil semula bekerja oleh perniagaan baharu dan sedang berkembang dan jumlah pembuangan pekerja tahun ini mungkin tidak seramai seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan perbincangan mengenai isu-isu kos menjalankan perniagaan dan peluang pekerjaan di Mesyuarat Kabinet dan mesyuarat Majlis Ekonomi minggu lepas, diikuti sesi dialog dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan 21 anggotanya pada 8 Januari.

Katanya, pertumbuhan ekonomi mampan Malaysia, 5.9 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2017 dan unjuran kira-kira 5.0 hingga 5.5 peratus pada 2018, akan membawa kesan positif kepada peluang pekerjaan, termasuk dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan ekonomi digital.

“Sejumlah 2.26 juta pekerjaan telah diwujudkan di bawah Program Transformasi Ekonomi setakat ini, manakala satu kaji selidik yang dijalankan oleh SME Corporation dalam suku ketiga 2017 mendapati 40 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ditemu bual menjangkakan perniagaan mereka bertambah baik dalam tempoh terdekat,” katanya.

Kerajaan telah memberi perhatian kepada keperluan sumber manusia industri yang berkembang dengan mengambil langkah menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi perubahan ciri-ciri pekerjaan, termasuk strategi meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja, terutamanya dalam keadaan ‘megatrends’ seperti Industri 4.0 dan automasi, kata Mustapa. – Bernama

Lebih 50,000 dijangka hilang kerja tahun ini

The post Dakwaan 50,000 akan dibuang kerja tahun ini tak tepat: MITI appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian