Dakwaan wujud kerjasama UMNO, PAN hanya spekulasi

JELI, 14 Jamadilawal 1439H, Rabu – UMNO Kelantan menyifatkan dakwaan wujud kerjasama antara UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) hanya spekulasi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata , tuduhan tidak berasas itu sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah pemimpin politik apabila menjelangnya pilihan raya.

“Tidak timbul kita berpakat dengan PAS atau Amanah untuk menjatuhkan mana-mana parti politik di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada program Jualan Sentuhan Rakyat peringkat Parlimen Jeli di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal berita berkaitan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai kerjasama antara Amanah dan UMNO di Kelantan untuk menjatuhkan PAS pada PRU14.

Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Mustapa berkata, beliau tidak pernah berjumpa sama ada pemimpin PAS atau Amanah untuk berbincang bagi mewujudkan pakatan untuk tumbangkan mana-mana parti.

“Apa yang penting kita (UMNO) tidak berkongsi dengan sesiapa, kita buat kerja dan dari dulu hingga sekarang, kita akan lawan siapa sahaja yang menentang kita,” katanya.

​​​​​​​Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Program Jualan Sentuhan Rakyat yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merupakan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat untuk meringankan beban perbelanjaan terutama membabitkan barangan keperluan asas.

“Program ini merupakan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bagi membantu rakyat mengurangkan beban perbelanjaan harian kerana melalui program seperti ini kehendak rakyat akan terbela,” katanya.

Beliau melihat rakyat gembira dengan penganjuran program seperti itu dan berharap ia dapat dilaksanakan secara berterusan serta diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar.

Melalui program tersebut barangan keperluan harian seperti ayam, daging, ikan dan minyak masak dijual pada harga yang lebih rendah berbanding pasar raya.- Bernama

BERITA BERKAITAN:

PAS dakwa PAN kerjasama dengan UMNO jatuhkan kerajaan negeri

The post Dakwaan wujud kerjasama UMNO, PAN hanya spekulasi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian