Datuk ditangkap kes bina terowong dasar laut Pulau Pinang, lapor akhbar

BANGI, 22 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa jabatan kerajaan dan pihak swasta di Pulau Pinang, semalam, seorang individu bergelar Datuk ditangkap, lapor The Star, hari ini.

Laporan itu menyebut lelaki berpangkat Datuk yang menduduki jawatan tinggi dalam sebuah syarikat ditangkap bagi membantu siasatan dakwaan berlaku rasuah dalam projek bernilai RM6.3 bilion itu.

Semalam, SPRM menyerbu beberapa pejabat kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Pulau Pinang dan syarikat swasta bagi menyiasat projek terowong dasar laut.

Difahamkan, pejabat kerajaan yang dikunjungi SPRM ialah pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di Komtar.

Selain itu, Syarikat Ewein-Zenith; 555 Capital Diamond Valley Industrial Park; dan Konsortium Zenith turut diserbu pada jam 10 pagi semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan serbuan itu.

“Kami mengambil dokumen di pejabat kerajaan dan beberapa syarikat yang berkaitan dengan projek terowong dasar laut itu. Buat masa ini tangkapan tidak ada lagi,” katanya semalam.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Akhbar berkenaan melaporkan SPRM turut menyiasat kenapa kerajaan Pulau Pinang membenarkan syarikat kenderaan khas pelbagai guna (SPV) terowong melakukan pra-jualan tanah negeri bernilai RM3 bilion, walaupun terdapat kelewatan selama empat tahun dalam pembinaan jalan raya.

SPRM juga dikatakan menyiasat kelayakan dan reka bentuk terperinci yang belum selesai membabitkan kos RM205 juta, tetapi RM220 juta sudah dibayar kepada syarikat SPV.

Pada 11 Oktober tahun lalu, kontraktor utama projek terowong dasar laut mengumumkan bahawa tiada keperluan mempercepatkan kajian itu kerana projek berkenaan dirancang dimulakan pada 2023.

Kajian kemungkinan pembinaan terowong itu bermula pada Februari 2015 dan sehingga Oktober tahun lalu ia dikatakan sudah siap 92.9 peratus.

SPRM dijangka mengadakan sidang media hari ini bagi menerangkan mengenai operasi itu.

The post Datuk ditangkap kes bina terowong dasar laut Pulau Pinang, lapor akhbar appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian