Diskaun jika beli secara pukal, terbuka kepada semua, kata Proton

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Proton Holdings Bhd menjelaskan diskaun istimewa kepada ahli kesatuan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, bukan kes istimewa, sebaliknya ia juga terbuka kepada pihak lain.

Dalam satu kenyataan semalam, Proton berkata, mana-mana koperasi, organisasi dan persatuan yang membeli jumlah kereta tertentu turut layak untuk mendapat pelan istimewa jualan korporat ini, tertakluk kepada terma dan syarat antara Proton dan pihak yang berkenaan.

Tawaran itu adalah sebahagian daripada dasar diskaun istimewa kepada pelanggan jualan korporat dan fleet, dan ia adalah amalan perniagaan biasa dalam industri automotif untuk menawarkan diskaun jualan korporat berdasarkan pembelian secara pukal dan jualan fleet.

Ia menjelaskan berhubung laporan akhbar berbahasa Cina bahawa Proton menawarkan diskaun antara lima dan 10 peratus bagi semua model keretanya kepada ahli kesatuan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia.

Berikutan itu, rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan langkah berkenaan yang dilihat ganjil, malah bersifat rasis.

Dalam kenyataan itu, Proton berkata, tawaran istimewa yang diberikan kepada Persekutuan Hokkien merupakan sebahagian daripada pelan jualan korporat istimewa kepada pelanggan jualan fleet.

Proton juga ingin menegaskan bahawa akhbar itu turut melaporkan “Proton sentiasa menyediakan promosi jualan korporat/fleet kepada pelanggan korporat, persatuan, organisasi dan institusi (termasuk media), dan Persekutuan Hokkien bukan kes yang istimewa”.

Katanya, Proton mempunyai pelan yang sama dengan pelbagai koperasi, persatuan dan organisasi korporat utama di Malaysia.

“Melalui cara yang sama, Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, telah mengadakan perbincangan dengan kami dan menunjukkan sokongan kepada Proton dengan komitmen untuk membeli,” kata Proton.

Berdasarkan kepada jumlah ahli dan pekerja persatuan itu yang besar, Proton berkata, ia dapat membentuk pakej istimewa yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Proton amat menghargai sokongan daripada syarikat korporat dan persatuan, dan komited untuk memberikan perkhidmatan dan kualiti yang terbaik kepada semua pelanggan kami.

“Kami menghargai minat yang diberikan kepada Proton dan kami mempelawa mana-mana persatuan dan syarikat korporat yang ingin menikmati faedah ini,” katanya. – Bernama

The post Diskaun jika beli secara pukal, terbuka kepada semua, kata Proton appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian