Evangelis makin berani anjur aktiviti gugat keamanan, dedah CEO Iksim

BANGI, 18 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Kerajaan mesti tegas mengekang gerakan Radical Evangelist for Christian State (RECS) yang sekarang ini semakin berani melebarkan gerakan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof Datuk Mahamad Naser Disa berkata, semua pihak mesti memahami bahawa punca kepada kebangkitan terorisme dunia yang bersarang di Timur Tengah, bermula dengan perkembangan dan kebangkitan kumpulan radikal evangelis di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, apabila sentimen agama digunakan oleh kumpulan pelobi dengan kepentingan komersial tertentu, bermulalah satu era di mana Presiden AS, seperti George W Bush, menggunakan alasan agama bagi menjustifikasikan tindakan AS dalam polisi luar, yang berakhir dengan peperangan tidak berkesudahan di Timur Tengah, sehingga banyak negara Islam jatuh satu persatu.

“Isu keselamatan dunia semakin rumit apabila Presiden Amerika Donald Trump memegang tampuk pemerintahan. Pengumumannya yang mengiktiraf Baitul Muqaddis sebagai ibu negara untuk Israel, akan menjadikan keadaan masalah terorisme dunia semakin parah. Ia menimbulkan rasa tidak puas hati di seluruh dunia,” katanya.

Memetik laporan Menara.my, beliau berkata, di Malaysia kumpulan radikal Evangelis turut membawa agenda yang sama mengenai Jerusalem sebagai ibu negara Israel.

“Program bersifat provokasi Jerusalem Jubilee telah diadakan beberapa kali sebelum ini, sebelum dibatalkan kerana NGO Islam dan Ketua Menteri Melaka membuat laporan polis. Tetapi, apa yang berlaku dengan laporan polis tersebut?

“Sepertimana yang saya cakap tadi, kita ada undang-undang, kita ada pihak berkuasa yang diamanahkan untuk menjalankan undang-undang, kenapa seolah-olah laporan polis ke atas kumpulan-kumpulan RECS seperti ini tidak mendapat perhatian dan tindakan wajar?

“Apakah kita hendak tunggu sehingga benar-benar gerakan ini bertindak ganas dan mengundang pula respons ganas dari umat Islam baru kita hendak bertindak?

“Apakah kita hendak tunggu sehingga gerakan Sabah dan Sarawak keluar Malaysia menjadi begitu kuat atas sentimen agama yang dimainkan baru kita hendak mula bergerak?,” katanya.

Terdahulu dalam pembentangannya pada Putrajaya International Security Dialogue (PISD) di Putrajaya hari ini, Mahamad Naser berkata, kerajaan mesti mengambil sikap untuk bertindak pada peringkat awal dengan mencegah masalah ini sebelum menjadi parah.

“Ambil tindakan semasa masalah ini masih diperingkat kecil. Kita ada undang-undang. Act on it and don’t sleep on it!” tegas Dato’ Mahamad Naser semasa menjawab persoalan daripada peserta sesi dialog tersebut.”

“Malaysia sebenarnya sudah ada cukup undang-undang yang bersifat mencegah yang sebenarnya boleh digunakan ke atas gerakan-gerakan radikal seperti RECS seperti Bab VI di dalam Kanun Keseksaan. Kita tak perlukan undang-undang baru. Undang-undang sedia ada sebenarnya sudah cukup untuk membantu kerajaan mengekang gerakan-gerakan radikal ini,” katanya.

Tetapi malangnya, beliau berkata, undang-undang ini dilihat tidak dijalankan secara efisien, sehingga perbuatan dan tindakan yang seolah-olah mencabar kuasa dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong semakin menjadi-jadi di dalam negara, termasuk yang dihasut oleh RECS ini.

“Hasutan Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia di atas sentimen agama sedang dimainkan. Hasutan untuk menakluk dan mengubah negara ini menjadi sebuah negara Kristian oleh kumpulan-kumpulan radikal ini juga sedang berlaku di dalam negara.

“Semua ini merupakan satu bentuk kesalahan yang harus diambil tindakan. Tetapi malangnya pihak berkuasa tidak memandang semua ini sebagai ‘acts against national security’ atau ‘waging war against the Yang di-Pertuan Agong yang boleh disabitkan di bawah 121 B Kanun Keseksaan,” katanya.

NGO Islam lapor polis gerakan Evangelis Kristian mahu kuasai Malaysia

The post Evangelis makin berani anjur aktiviti gugat keamanan, dedah CEO Iksim appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian