Gantung ahli lembaga pengarah Felda, FIC sehingga siasatan kes tanah selesai

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Felda Investment Coorporation (FIC) digesa menggantung jawatan ahli lembaga pengarahnya, sementara polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung penukaran hak milik tanah bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Malah, Presiden TERAS Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid menggesa supaya pegawai kanan Felda dalam pengurusan tertinggi diberi cuti sehingga siasatan terhadap kes itu selesai.

“Kini laporan polis mengenai ‘criminal fraud’ dan tindakan ‘civil fraud’ bakal diambil ke atas mereka yang terlibat untuk menyelamatkan tanah Felda yang telah terjual kepada Synergy Promnade Sdn Bhd, yang dikatakan dibuat tanpa kelulusan.

“Pihak kerajaan sepatutnya tidak ada masalah untuk mengesan siapakan pemilik syarikat SPSB itu dan bagaimana ia terlibat dalam pemindahan tanah milik Felda di Jalan Semarak itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Namun, Mohd Azmi berkata, beliau hairan apabila berlaku kelemahan dalam pengurusan, prosedur membuat keputusan termasuk bidang kuasa Felda dan FIC tidak disemak dengan teliti, sejak Unit Seranta (Felda) diletak sepenuhnya di bawah Jabatan Perdana Menteri pada Jun 2004.

“Perkembangan terkini sangat mengejutkan, kerana transaksi jualan dan penyerahan Power of Attorney telah berlaku pada 2015. Tanah Felda dikatakan diserah kepada SPSB tetapi tidak ada sebarang pembayaran diterima oleh Felda dalam jual beli tersebut,” katanya.

Pindah milik ke atas tanah strategik di Jalan Semarak itu dipercayai berlaku apabila FIC melantik sebuah syarikat tempatan (SPSB) sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Berikutan itu, polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah yang didakwa mencurigakan itu.

“Kami juga mengambil perhatian terhadap sebuah firma audit luar yang dilantik oleh Jabatan Perdana Menteri untuk melakukan forensik audit ke atas pihak yang terlibat dalam isu pembangunan KLVC oleh sebuah syarikat, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

“Turut akan terlibat dalam pengauditan itu ialah FIC, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan DBKL,” kata Mohd Azmi.

Justeru, beliau berkata, siasatan forensik audit luar yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan, sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus mendedahkan semua kepincangan dalam Felda dan FIC.

Katanya, sebagai sebuah badan perladangan dan pembangunan tanah terbesar negara, pengurusan Felda yang lemah serta salah guna kuasa tidak boleh dikompromi.

Beliau berpendapat, satu tindakan drastik juga perlu diambil bagi menjernihkan semula nama Felda selepas terpalit dengan pelbagai isu kebelakangan ini.

“Arahan untuk membuat forensik audit yang membedah segala aspek pengurusan Felda berkaitan dengan pindahmilik tanah perlu telus. Rakyat, terutama peneroka Felda akan meneliti natijah dari audit ini dan yang juga lebih penting ialah sejauh mana tindakan ke atas pihak yang terbabit dalam isu ini akan diambil.

“Sistem Pengerusi Felda menjadi pelbagai Pengerusi dibawah Felda perlu disemak semula. Tan Sri Isa Samad yang menjadi Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, juga memegang jawatan Pengerusi kepada Felda Global Ventures Holdings Bhd dari Januari 2011 hingga Jun 2017 dan dalam masa yang sama menjadi juga Pengerusi Felda Investment Corporation (FIC) dari 2 Julai2013 hingga 2017.

“Konflik kepentingan sudah tentu berlaku dan kami hairan kepada pihak Jabatan Perdana Menteri tidak menyedari hal ini,” katanya.

The post Gantung ahli lembaga pengarah Felda, FIC sehingga siasatan kes tanah selesai appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian