Hampir 30 suspek pengganas dihantar pulang ke negara asal

PUTRAJAYA, 17 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengusir hampir 30 orang daripada keseluruhan 50 suspek pengganas yang dihantar ke Malaysia sejak 2014.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua suspek terbabit dihantar ke negara ini oleh sebuah negara, yang beliau enggan dedahkan, setelah ditahan di negara berkenaan.

Beliau berkata, mengikut undang-undang antarabangsa, suspek pengganas yang ditahan di mana-mana negara, perlu dihantar pulang ke lokasi terakhir mereka berada dan bukannya negara yang ingin dituju oleh suspek terbabit.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyampaikan ceramahnya pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan’, PISD yang berlangsung selama dua hari dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di Arab Saudi.

Ayob Khan berkata, kebanyakan mereka adalah suspek pengganas Daesh yang terdiri daripada pelbagai warganegara dengan majoritinya adalah rakyat negara Arab.

Beliau berkata, negara luar perlu memberikan maklumat awal kepada Malaysia mengenai pergerakan suspek pengganas bagi memudahkan PDRM mengambil tindakan termasuk mengawasi, menahan dan menghantar mereka ke negara asal.

“Kita mahu perisikan, jika tiada, macam mana kita hendak kesan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia dan PDRM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan negara lain bagi menyelesaikan masalah pengusiran pengganas.

Sebelum ini, agensi berita Reuters melaporkan bahawa kerajaan Turki telah mengusir suspek militan ke Kuala Lumpur tanpa sebarang notis selepas mereka ditangkap cuba memasuki Syria untuk menyertai Daesh.

Mengenai jumlah suspek pengganas Daesh yang ditahan di negara ini, Ayob Khan berkata seramai 105 individu telah ditahan tahun lepas,
yang menurun sedikit berbanding 119 orang yang ditahan pada 2016.

“Satu daripada sebabnya adalah kebanyakan perekrut utama tidak aktif di media sosial jadi tidak banyak yang dilatih,” kata Ayob Khan. -Bernama

The post Hampir 30 suspek pengganas dihantar pulang ke negara asal appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian