Hikmah putusnya tahaluf siyasi PAS-DAP
Amaran: penulisan ini mungkin perit untuk ditelan oleh pelbagai pihak.
Tahun 2018 disambut oleh pengumuman Datuk Mahfuz Omar untuk keluar daripada PAS dan saya hanya tersenyum kerana sudah lama mengagak saat ini akan tiba.
MASIH ingatkah anda tentang istilah ‘parasit-parasit PAS’ yang pernah popular dahulu yang didedahkan oleh Datuk Dr Hasan Ali dan akhirnya beliau dipecat dari partinya itu, di mana PAS itu sendiri melihat beliau sebagai parasit sebenar?
Ramai yang tidak mempercayai pendedahan Datuk Dr Hasan Ali itu, malah menganggap bahawa beliau hanya mahu mengucar-ngacirkan partinya itu sendiri. Sangatlah rugi apabila PAS kehilangan tokoh-tokoh Islam yang hebat dan bersih seperti Datuk Dr Hasan Ali dan Datuk Dr Nasharudin Mat Isa yang dicantas oleh para parasit dahulu.
Secara peribadi, saya berpendapat bahawa PAS ketika itu lebih kurang seperti seperti PAN sekarang, yang sering optimis dengan DAP tetapi terlalu berkasar pada UMNO dan mana-mana parti melayu Islam yang tidak sehaluan atau menyokong tahaluf siyasi PAS-DAP seperti Parti BERJASA yang hanya bertanding di kerusi-kerusi majoriti Islam tetapi tiada calon Muslim. Sesiapa yang mengikuti PRU yang lepas ini akan tahu betapa teruknya BERJASA yang disokong dihentam oleh PAS terutamanya penyokong-penyokong PAS, kononnya menentang Islam kerana menentang Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS.
Walaupun DAP banyak menentang Islam pada ketika itu, seperti hudud dan sebagainya tetapi PAS hanya berlapang dada dan mendakwa kononnya tindakan tersebut adalah sebahagian dari ‘dakwah’. Slogan ‘rahmatan lil alamin’ yang sering dipergunakan oleh PAN sekarang bukanlah perkara yang baru, malah telah digunakan sejak PAS bertahaluf siyasi dengan DAP lagi. Malah golongan-golongan liberal juga dilihat menyenangi PAS berbanding UMNO ketika itu.
Walaubagaimanapun, hikmah wujudnya Dewan Ulama PAS yang menjadi tunjang atau ‘veto’ di dalam struktur organisasi PAS menjadi halangan untuk para parasit bermaharajalela mencorakkan fikrah jemaah serta menentukan halatuju dan keaslian perjuangan PAS.
Akhirnya, kebenaran bahawa wujudnya ‘parasit-parasit PAS’ dibuktikan selepas lebih 3-5 tahun. Ada yang tubuh parti baru, ada yang sertai parti lain, ada juga yang menghilangkan diri.
Alhamdulillah, PAS kini sudah tiada apa-apa hubungan dengan DAP, malah telah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR. Putusnya tahaluf siyasi dengan PKR juga penting kerana PKR seringkali menggunakan fitnah sebagai modus operandi untuk berpolitik. Mana mungkin sebuah parti Islam boleh bersahabat rapat dengan penipu dan pembohong lebih-lebih lagi PKR seringkali dilihat sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PAS sekarang menunjangi Gagasan Sejahtera, yang dianggotai oleh IKATAN dan PCM berserta sokongan yang kuat oleh NGO-NGO Islam. UMNO juga semakin cenderung untuk melaksanakan syariat-syariat Islam walaupun ramai lagi pemimpin-pemimpinnya yang bermasalah seperti korup dan anglofil. Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) juga sangat baik, matang dan menampilkan PAS sebagai sebuah parti Islam yang ikhlas dan bersih perjuangannya.
Walaubagaimanapun, inilah dakwah dan peranan yang lebih utama yang patut dilakukan oleh sebuah parti Islam. Inilah yang umat Islam inginkan sekian lama; kesatuan umat. Umat Islam mahu usaha-usaha mendaulatkan Islam dilakukan oleh orang islam itu sendiri, bukannya oleh puak anti-Islam yang hanya bersandiwara mempergunakan kita. Tanggungjawab mentarbiah umat terletak di bahu kita !
Konklusinya, putusnya tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR dilihat sebagai perubahan yang besar dalam lanskap politik negara, dan semestinya sangat menguntungkan umat Islam. Saya berharap agar PAS istiqamah dan teguh dengan prinsip dan pendekatan seperti sekarang!
Melayu Sepakat, Islam Berdaulat.
IMRAN HARITH BIN AZMY
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post Hikmah putusnya tahaluf siyasi PAS-DAP appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan