Imam bayar denda pemuda rosakkan masjid
ARKANSAS, 16 Rabulakhir 1439H, Khamis – Imam sebuah masjid kecil di Fort Smith, Arkansas, Amerika Syarikat (AS) memaafkan dan membayar denda yang dikenakan terhadap seorang lelaki yang melakukan vandalisme serta jenayah kebencian terhadap umat Islam di situ.
Abraham Davis menconteng lambang Nazi – swastika – dan menulis perkataan ‘pergi balik’ di Masjid al-Salam pada Oktober 2016. Dia ditangkap selepas pihak berkuasa meneliti kamera litar tertutup (CCTV) masjid, dan dituduh melakukan kejahatan jenayah kebencian.
“Kami tahu pemuda ini melakukan perkara buruk dan pastinya ada akibat buruk daripada perbuatan mereka. Tetapi, kami tidak mempunyai sebarang perasaan sakit hati terhadap sesiapa pun,” kata Imam, Louay Nassri kepada media tempatan selepas membayar denda yang dikenakan terhadap pemuda itu pada 31 Disember lalu.
Katanya, wang bayaran denda berjumlah AS$1,700 sepatutnya digunakan untuk pengubahsuaian masjid, namun ia ditangguhkan untuk membantu pemuda itu.
“Selepas semua apa yang telah dilaluinya, kami tidak mahu dia tertekan dengan masalah kewangan yang teruk. Dan seperti yang saya katakan kepadanya, kami mahu dia mempunyai masa depan yang lebih baik.
“Sekiranya dia tahu siapa kita, dia tidak akan melakukannya. Sekiranya kita tahu masalahnya dengan kita, kita akan cuba membantunya. Komunikasi sangat penting. Pendidikan sangat penting,” katanya.
Presiden Institut Arab Amerika, James Zogby sebelum ini berkata, serangan terhadap umat Islam dan kesan daripada ‘Arab Spring’, termasuk gelombang baharu imigrasi, menyebabkan ketidaktentuan identiti warga Arab Amerika.
Katanya, lebih 600,000 pendatang Arab tiba di AS sejak 15 tahun lalu . – Agensi
The post Imam bayar denda pemuda rosakkan masjid appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan