Istimewa sangatkah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)?
BARU-BARU ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan bangganya berjanji kerajaan tidak akan menutup mana-mana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), walaupun jumlah pengambian MEROSOT atau TIDAK MENCUKUPI (The Star, 30 Disember 2017).
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kembali ke Sekolah di SJKC Chong San, Bagan Sungai Burung di Bagan Datoh.
Di dalam kenyataan media yang lain pula, beliau mengatakan bahawa pengumuman tersebut akan menidakkan tuduhan bahawa kerajaan akan menutup sekolah-sekolah jenis kebangsaan.
Amaran: Isu cemerlang atau tidak akademik dan sistem SJKC itu cerita lain, jangan alihkan isu.
Terdapat beberapa poin menarik yang boleh dibuat daripada isu ini.
Pertama sekali, agenda memperjuangkan SJKC ini dilihat sebagai satu agenda yang istimewa oleh pemain-pemain politik tanah air, seperti mana yang dimainkan oleh DAP dan MCA. Masing-masing mahu menjadi juara dalam menegakkan SJKC.
Peliknya, apa istimewa sangat agenda memperjuangkan pendidikan Cina seperti UEC dan SJKC ini sampai menjadi perjuangan utama pemimpin-pemimpin politik Melayu terutamanya UMNO pada saban tahun?
Ironinya, isu yang lebih besar seperti pemerkasaan Bahasa Kebangsaan kurang ditekan dan difokuskan. Ataupun adakah pengumuman tersebut hanya retorik di hadapan orang-orang Cina untuk raih undi masyarakat tersebut?
Kedua, persoalan yang timbul ialah jika pemain-pemain politik tanah air ikhlas memperjuangkan SJKC sebagai perjuangan mempertegakkan hak sesebuah masyarakat, nescaya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) juga dilaungkan dan diperjuangkan pada kadar dan dos yang sama, malangnya tiada.
Adakah pemain-pemain politik Cina mempunyai kuasa mendesak yang sangat kuat, tidak kiralah dari parti-parti komponen pemerintah, mahupun pembangkang itu sendiri sehinggakan pemimpin-pemimpin Melayu tunduk sampaikan mereka sendiri menjadi ‘pendekar’ dalam memperjuangkan bangsa lain? Dengan kata lain, sebagai proksi. Buktikanlah andaian saya ini salah.
Ketiga, tidakkah kerajaan memandang serius dengan isu-isu yang timbul seperti jurang hubungan antara kaum yang semakin meruncing?
Penularan sekolah-sekolah vernakular akan hanya memburukkan keadaan kerana lemahnya kemampuan berbahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar-pelajar SJKC, kurangnya interaksi sosial antara kaum akibat terasingnya kaum-kaum tertentu mengikut sekolah masing-masing dan wujudnya standard yang berbeza antara Sekolah Kebangsaan (SK) dan SJKC.
Akhir sekali, apa istimewa sangat memperjuangkan SJKC ini wahai pemimpin Melayu Islam? Rugilah kami mengundi kalian, dengan harapan supaya kalian dapat perjuangkan hak kami tetapi sebaliknya memperjuangkan hak orang lain.
“Harapkan pagar, pagar makan padi”
Imran Harith Bin Azmy
The post Istimewa sangatkah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan