Isu tanah Felda: Isa Samad beri keterangan kepada JSJK

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di sini, berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata Mohd Isa tiba bersama-sama empat pegawainya di pejabat JSJK yang terletak di Menara 238, Jalan Tun Razak pada 10.30 pagi.

“Kita masih dalam proses merakam percakapan beliau, proses ini akan disambung selepas solat Jumaat nanti,” katanya kepada pemberita.

Amar Singh berkata, pihaknya telah memanggil lapan individu termasuk pegawai Felda serta pihak pemaju bagi merakam percakapan mereka selain mengambil keterangan daripada seorang lagi individu pada Isnin depan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan setakat ini hanya memfokuskan kepada isu pemindahan hak milik tanah Felda.

Amar Singh berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan hak empat bidang tanah Felda di Jalan Semarak.

Pada 21 Disember lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Mohd Isa menjadi Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu serta Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017. -Bernama

The post Isu tanah Felda: Isa Samad beri keterangan kepada JSJK appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian