Kata banyak peluang kerja tapi penganggur berlambak

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 22 Rabiulakhir 1439H, Selasa – Pengumuman, terutama yang dibuat ketika pembentangan bajet tahunan, bahawa puluhan ribu hingga ratusan ribu peluang pekerjaan baharu wujud, gagal menyelesaikan lambakan penganggur, khusus di kalangan belia dan siswazah.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, setinggi mana pun prestasi ekonomi negara, soalan penting yang perlu dijawab oleh kerajaan ialah sejauh mana peluang pekerjaan berjaya diwujudkan dan pengangguran diatasi.

Beliau berkata, lambakan penganggur yang mencecah lebih 500,000 akan terus berlarutan, sekiranya kerajaan gagal mencari jalan penyelesaian, yang akhirnya akan menjejaskan struktur dan ekosistem ekonomi negara.

“Menteri ketika menjawab soalan saya di Dewan Rakyat pada 29 November 2017 yang lalu tentang kadar pengangguran di Malaysia menjawab bahawa ia pada kadar 3.5 peratus atau seramai 504,100 orang penganggur daripada jumlah guna tenaga negara seramai 14.67 juta orang.

“Statistik Jabatan Imigresen Malaysia pula setakat 30 Jun lalu, menunjukkan seramai 1,781,598 pekerja asing sah berada di negara ini.

“Ini menunjukkan masih terdapat masalah yang lebih asas dibiarkan tanpa pembetulan sehingga menjejaskan struktur dan ekosistem ekonomi di negara ini sehingga menatijahkan isu penggangguran ini terus berlarutan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Justeru, langkah terbaik buat masa ini katanya ialah kerajaan perlu menilai kembali sistem pendidikan bagi melahirkan insan berdikari dan berinovasi tinggi.

Katanya, mahasiswa yang lahir kelak perlu mampu mencipta pekerjaan selepas alam pengajian, malah menjadi sebahagian agenda pendidikan di peringkat menengah dan universiti.

Selain itu Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Nerus berkata, kerajaan boleh menggalakkan lagi aktiviti kreatif dan inovasi bagi merintis peluang kepada golongan belia untuk mencipta kerjaya dan pendapatan sendiri.

“Makna kata, ia bukan semata-mata menekankan kecekapan kos dan pergantungan pada tenaga kerja yang murah serta makan gaji.

“Kerajaan juga boleh mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk sektor berkemahiran tinggi di samping pekerjaan berkemahiran rendah. Dalam masa sama, perlu dibanyakkan lagi peluang kerjaya di bidang pertanian bersifat lebih kormesial dan keusahawanan.

“Dengan sumber bumi yang banyak dan tanah yang subur pertanian sewajarnya diberi ruang menjadi antara kerjaya pilihan siswazah dan belia.

“Yang penting jenis pekerjaan yang diwujudkan sepadan dengan pencapaian pendidikan tenaga kerja yang dibekalkan, termasuk memberikan penempatan segera kepada golongan siswazah dalam profesion keguruan dan kedoktoran yang masih ramai menganggur sehingga kini,” katanya.

The post Kata banyak peluang kerja tapi penganggur berlambak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian