ismakualaterengganu

Kegagalan 1MDB: Pengakuan Najib kerana PRU14, kata Kadir Jasin

BANGI, 11 Jamadilawal 1439H, Ahad – Pengakuan Datuk Seri Najib Razak mengenai kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekadar mengula...

BANGI, 11 Jamadilawal 1439H, Ahad – Pengakuan Datuk Seri Najib Razak mengenai kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekadar mengulangi apa yang sudah diketahui ramai, termasuk di luar negara, kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin.

Katanya, pengakuan Perdana Menteri yang dibuat pada ‘Invest Malaysia 2018’ adalah pemilihan unik kerana persidangan itu dihadiri ramai pelabur, bakal pelabur serta eksekutif dalam dan luar negara, yang mungkin tahu lebih banyak mengenai skandal 1MDB itu disebabkan ia berlaku dalam dunia korporat.

“Saya tidak mahu mengulang ulas pendirian dan tindakan Perdana Menteri mengenai isu ini sebelum ini kerana saya yakin kita sudah cukup maklum mengenainya. Apa yang perlu diulang sebut ialah satu dunia sudah tahu yang 1MDB bermasalah. Jadi, pengakuan Perdana Menteri itu hanyalah sekadar mengulangi apa yang sudah diketahui ramai.

“Hatta wakil kerajaan pun tahu dan mengakui yang 1MDB bermasalah. Betapa tidaknya. Ada di antara mereka adalah ahli atau bekas ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen (PAC) yang menyiasat hal-ehwal 1MDB.

“Bezanya tidak ramai yang membuat kenyataan terbuka mengenainya atau memilih untuk menutup mulut apabila dilantik ke jawatan penting,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

Bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu memberi contoh kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar yang dilaporkan berkata bahawa kaedah perniagaan 1MDB tidak lestari kerana modalnya kecil, tetapi berhutang besar

“Tidak lama selepas itu, 1MDB terpaksa menjual harta-hartanya – kadang-kadang pada kadar potongan – bagi membayar balik hutang. Yang memburukkan lagi masalah 1MDB ialah bukan semua hutangnya berpunca daripada perniagaan. Kalau hutang perniagaan, ia boleh dijustifikasikan dan boleh diatasi melalui penyusunan semula dan penjualan aset.

“Tetapi sebahagian daripada hutang itu terbentuk akibat penyelewengan oleh pengurusan 1MDB dengan pembabitan orang luar, khususnya Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low. Hutang inilah yang menjadikan 1MDB, pada teorinya, muflis (insolvent) sehingga memaksa Kementerian Kewangan mengambil alih beban hutangnya,” katanya.

Kadir berkata, ini berlaku apabila wang sebanyak AS$1.2 bilion (kira-kira RM4.8 bilion) yang sepatutnya disalurkan kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), Abu Dhabi, sebagai pelaburan telah dilencongkan secara jenayah kepada syarikat persisiran pantai yang dikaitkan dengan Jho Low.

Katanya, 1MDB menafikan wujudnya hutang itu tetapi ‘kalah’ dalam perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London pada April lalu dan terpaksa membayar jumlah itu kepada IPIC dalam dua ansuran.

“Banyak lagi duit 1MDB yang tidak dapat dikesan atau dapat dikesan tetapi tidak boleh dihebahkan kepada orang ramai kerana dokumen mengenainya diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi seperti laporan audit khas oleh Juruaudit Negara.

“Kegagalan dan kelemahan urus tadbir yang diakui oleh Perdana Menteri sudah pun dibuktikan secara sahih tahun lalu oleh mahkamah Singapura apabila ia mendapati beberapa pegawai bank antarabangsa bersalah melakukan pengalihan wang haram dari sumber-sumber 1MDB,” katanya.

Kadir berkata, sementara kerajaan Amerika Syarikat pula menggunakan undang-undang Kleptocracy Asset Recovery Inisiative (Kari) atau dalam bahasa Melayu inisiatif mendapatkan balik harta yang dicuri oleh kerajaan pencuri bagi membekukan aset yang disahkan dibeli dengan duit seleweng 1MBD.

“Jadi pengakuan Perdana Menteri itu tidaklah memeranjatkan. Yang menjadi tanda tanya ialah muslihat tersirat di sebalik tindakan Perdana Menteri itu. Saya cenderung mengaitkannya dengan pilihan raya umum yang akan menjelang, kecuali berlaku sesuatu yang memeranjatkan dalam masa terdekat,” katanya.

The post Kegagalan 1MDB: Pengakuan Najib kerana PRU14, kata Kadir Jasin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 8141052611717714142

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item