Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bakal cetus konflik masa depan

KUALA LUMPUR, 12 Jamadilawal 1439H, Isnin – Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes penukaran agama sepihak membabitkan M Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah, hari ini akan menimbulkan konflik dalam kes seumpamanya di masa hadapan.

Mengakui terkejut dengan keputusan mahkamah itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, kes yang serupa di masa depan akan merujuk keputusan yang dibuat hari ini.

“Saya agak terkejut dengan keputusan ini. Keputusan anak untuk menentukan agamanya pasti akan dipengaruhi siapa yang menjaganya.

“Maka ia boleh menimbulkan konflik, misalnya perebutan anak sehingga anak dibawa lari pihak tertentu (sama ada penjaga yang beragama Islam mahupun bukan Islam yang tidak mendapat hak penjagaan).

“Kemudian anak disembunyikan sehingga anak itu membuat pilihan selepas mencapai umur 18 tahun,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan itu juga jelas berbeza dengan pandangan empat mazhab utama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Berdasarkan mazhab Shafie, Hanafi dan Hambali, jika ibu atau bapa memeluk agama Islam, anak perlu mengikutnya.

“Mazhab Maliki pula berpandangan jika bapa yang memeluk Islam anak perlu mengikutnya, kerana anak dinasabkan kepada bapa dan bukan ibu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tiga anak dalam kes ini masih boleh memilih agama sendiri tanpa persetujuan ibu dan bapa selepas cukup umur 18 tahun.

Mahkamah Persekutuan hari ini, memutuskan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.

Ketika mereka diislamkan pada 2009, kanak-kanak berkenaan itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara berpuas hati bahawa penukaran agama anak perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa, sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

The post Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bakal cetus konflik masa depan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian