Kerajaan cadang turun kadar faedah pinjaman perumahan: Zahid

PUTRAJAYA, 8 Jamadilawal 1439H, Khamis – Kerajaan akan mencadangkan kadar faedah pinjaman perumahan diturunkan bagi mengurangkan beban pembeli, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Cadangan itu yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) mengenai perumahan yang dipengerusikannya di sini hari ini, akan dibawa kepada Kabinet untuk satu keputusan dalam masa terdekat, katanya.

Katanya, kaedah faedah pinjaman yang tinggi merupakan antara sebab kira-kira 13,605 unit rumah yang berharga di bawah julat RM250,000 hingga RM500,000 tidak dapat dijual pada tahun lalu.

Beliau berkata, kerajaan akan mengemukakan kertas cadangan berhubung kadar faedah pinjaman kepada bank komersial dan arahan lanjut akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kadar faedah yang ditawarkan itu haruslah sangat kompetitif. Kita sudah menjalankan kajian perbandingan dengan negara lain dan kadar faedah kita berada di pertengahan antara negara maju dan negara membangun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Kadar pinjaman asas (BLR) di Malaysia adalah 4.65 peratus berbanding Australia 5.33 peratus dan Singapura 1.45 peratus.

Ditanya jika bank-bank tidak menyetujui cadangan itu, Ahmad Zahid berkata:

“Cadangan itu dibentangkan oleh wakil daripada BNM. Berdasarkan bidang kuasa di bawah BNM, bank-bank komersial perlu mematuhi segala ketetapan yang ditentukan oleh BNM mengenai perkara itu.”

Ahmad Zahid berkata, ramai pembeli rumah juga tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan dan tidak mempunyai slip gaji untuk membeli unit rumah.

Dalam mesyuarat yang membincangkan koordinasi, penyelarasan pelaksanaan dan menyelesaikan isu-isu berkaitan perumahan itu, Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan pembekuan sementara kelulusan program hartanah perumahan bernilai RM1 juta ke atas akan dikaji semula. – Bernama

The post Kerajaan cadang turun kadar faedah pinjaman perumahan: Zahid appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian