Kerajaan tidak terima cadangan kembalikan rokok pek ‘kiddie’

PUTRAJAYA, 30 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Kerajaan tidak akan sesekali menyokong cadangan industri tembakau untuk mengembalikan semula bungkusan rokok ‘kiddie pack’ atau pek mini 10 batang bagi menangani penularan rokok haram.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata cadangan itu adalah alasan pelobi-pelobi industri bahawa ia mampu mengekang kegiatan rokok seludup dan haram yang menyebabkan peningkatan perokok di negara ini.

Beliau berkata jika kerajaan setuju, cadangan itu bertentangan dengan Dasar Kebangsaan Tembakau Negara dan Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)-Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC).

“Pihak industri konon hendak bantu kerajaan kawal rokok haram dengan memperkenal paket rokok 10 batang dan harga murah kerana pek 20 batang mahal dan menggalakkan orang ramai mencari rokok haram.

“Ini adalah agenda tersembunyi mereka untuk meningkatkan lagi jumlah perokok di negara ini dan kementerian tidak akan menyokong cadangan yang bercanggah dengan etika perubatan,” katanya ketika Majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Blue Ribbon 2017, malam tadi.

Beliau berkata, apabila kerajaan bertindak meningkatkan duti eksais rokok, jumlah perokok pula meningkat dengan mereka beralih kepada rokok haram yang murah.

“Kira-kira 52 peratus rakyat merokok rokok haram kerana ia mudah didapati dan murah. Ini amat membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian membanteras tabiat merokok bukan terletak pada pembungkusan semula pek rokok tetapi pada tahap kesedaran dan pendidikan dalam kalangan masyarakat.

Dr Subramaniam berkata, pihaknya menganggarkan lima juta atau 23 peratus rakyat negara ini adalah perokok berusia 15 hingga 50 tahun.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam memuji Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang berfungsi membasmi rokok seludup secara konsisten dan efektif.

Pada majlis itu, 220 premis dari seluruh negara yang melaksanakan inisiatif bebas asap rokok secara sukarelawan menerima pensijilan Kempen Blue Ribbon yang diperkenalkan pada 2013.

Dr Subramaniam turut menyampaikan sijil penghargaan dan trofi kepada pengamal media bagi kategori Anugerah Media Blue Ribbon 2017. — BERNAMA

The post Kerajaan tidak terima cadangan kembalikan rokok pek ‘kiddie’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian