ismakualaterengganu

Kes bunuh 23 penghuni tahfiz dipindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Mahkamah Majistret di sini hari ini memindahkan kes dua remaja berusia 16 tahun yang didakwa mem...

KUALA LUMPUR, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Mahkamah Majistret di sini hari ini memindahkan kes dua remaja berusia 16 tahun yang didakwa membunuh 21 orang pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, September lalu ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Majistret Siti Radziah Kamarudin memutuskan demikian semasa sebutan kes itu di Mahkamah Majistret selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail dan Nurakmal Farhan Aziz untuk memindahkan kes itu mengikut Seksyen 177A Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanapun tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Dua remaja lelaki itu didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 mangsa antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017, di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini.

Mereka yang diwakili peguam Haijan Omar dan Joanne Chua dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kanak-kanak, seorang daripada dua tertuduh itu yang didakwa memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badan, dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu oleh Majistret Zilfinaz Abbas.

Remaja lelaki itu dituduh memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badan di tandas pejabat D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada jam 11.35 pagi, 16 September 2017.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi, 14 September 2017, sejumlah 23 penghuni maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.- Bernama

The post Kes bunuh 23 penghuni tahfiz dipindah ke Mahkamah Tinggi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 3726258827234172045

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item