Kesultanan Melayu Melaka kuasa ekonomi Islam abad ke-16

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KAJANG, 10 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Kesultanan Melayu Melaka pernah menjadi pelopor utama kepada ekonomi kerajaan-kerajaan Islam pada penghujung abad ke-15 dan awal abad ke-16.

Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara, Ustaz Mohd Hasanuddin Mohd Yusof berkata, hal itu berlaku kerana pelabuhan Melaka merupakan pelabuhan utama perdagangan rempah yang seterusnya menjadikan Melaka antara kerajaan Islam yang terkaya di dunia.

Perdagangan rempah pada zaman itu, yang diperkenalkan oleh bangsa Melayu sangat tinggi nilainya dan kemudian banyak direbuti oleh bangsa-bangsa lain, kata Hasanuddin.

“Pada zaman pertengahan sebelum abad ke-18, komoditi paling berharga adalah rempah kerana banyak kegunaan, yang mana ibarat minyak petroleum pada masa kini.

“Antara kegunaan rempah ialah sebagai ubat-ubatan bagi pelbagai jenis penyakit, bahan penyedap makanan, pengawet makanan, pemanas badan dan pewangi mulut. Bangsa Melayu telah banyak mengajar bangsa-bangsa lain cara menggunakan rempah.

“Maka perdagangan rempah ratus yang bermula di Alam Melayu di mana wilayah ini merupakan pengeluar utama rempah ratus telah memberikan kesan yang besar terhadap politik dan ekonomi di dunia,” katanya dalam Wacana Alam Melayu dan Politik Ekonomi Antarabangsa anjuran Institut Penyelidikan IRIS dan MTAEF yang diadakan di Institut Genom Malaysia, Kajang.

Selain itu, beliau berkata, perdagangan rempah ini juga telah membantu perjuangan Salahuddin Al-Ayyubi dalam memerangi perang salib.

“Dari segi ekonomi, Salahuddin al-Ayyubi sangat bergantung kepada perdagangan rempah dalam misi menguasai kembali Baitulmaqdis dan menghadapi Perang Salib.

“Pada zaman itu, satu empayar perdagangan rempah yang terbesar di dunia iaitu empayar Karimi banyak menyumbang kepada kekuatan kewangan Salahuddin al-Ayyubi.

“Pedagang-pedagang Karimi ini pula mendapatkan bekalan rempah dari Alam Melayu di mana antara pelabuhan perdagangan rempah yang utama pada masa itu ialah pelabuhan Kedah Tua.

“Dengan itu, mereka dapat memonopoli perdagangan rempah di Timur Tengah dan Eropah,” katanya.

Bukan sahaja rempah yang menyumbang kepesatan ekonomi pada zaman itu, Hasanuddin berkata, kepakaran orang Melayu dalam bidang pelayaran juga banyak dipelajari oleh bangsa-bangsa lain.

“Catatan China menyatakan ketika berlakunya aktiviti perdagangan komoditi bahan makanan dan rempah, bangsa India, Arab, Parsi dan Turki belajar tentang kemahiran-kemahiran dalam bidang pelayaran dari orang Melayu.

“Bangsa Melayu mengajar kepada bangsa-bangsa besar di dunia itu tentang cara-cara menggunakan angin monsun, besi berani atau magnet dan juga bintang-bintang petunjuk dalam pelayaran.

“Dengan itu, penguasaan bangsa Melayu terhadap teknologi perkapalan dan pelayaran telah memberi sumbangan yang besar kepada kepesatan aktiviti pelayaran dan perdagangan laut dunia,” katanya.

The post Kesultanan Melayu Melaka kuasa ekonomi Islam abad ke-16 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian