ismakualaterengganu

Komuniti pereka grafik kritik logo Tahun Melawat Malaysia 2020

Oleh Athirah Huda Zalhe BANGI, 11 Jamadilawal 1439H, Ahad – Logo terbaharu Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilancarkan Kementerian Pelanc...

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Jamadilawal 1439H, Ahad – Logo terbaharu Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilancarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Jumaat lepas, mendapat kritikan pengguna laman sosial terutama di kalangan pereka grafik.

Logo yang dilancarkan pada perhimpunan negara-negara ASEAN di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini turut mendapat perhatian komuniti pereka grafik di Facebook Grafik Malaya.

Rata-rata mereka mengkritik dan meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti serta konsep persembahan logo tersebut yang disifatkan tidak menepati taraf selayaknya.

Malah, sebahagian netizen turut membandingkan logo itu dengan beberapa negara lain, yang dikatakan jauh lebih baik dan menarik berbanding Malaysia.

Menurut pereka grafik logo dan identiti korporat, Aiman Rosli, logo yang dihasilkan pada 2007 dan 2015 dilihat lebih baik berbanding untuk tahun 2020.

“Sepatutnya, bagi sesuatu jenama yang mewakili negara yang akan dipamerkan dalam pelbagai bentuk media, kerajaan mestilah melibatkan pihak yang benar-benar mahir dan mempunyai kredibiliti dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja mampu menjadi simbol keunikan dan keindahan negara kita, tetapi mempunyai ciri moden dan gaya persembahan yang terkini. 

“Cuba kita lihat kempen melawat Russia yang cukup unik, moden malah mengetengahkan konsep seni suprematism (bentuk geometri) yang berasal dari Rusia. Pendek kata, cukup rempah ratusnya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Aiman berkata, masih belum terlambat untuk pihak kementerian menarik semula logo tersebut, dan menggantikannya dengan lebih baik meskipun ia telah dilancarkan baru-baru ini.

Katanya, negara mempunyai ramai pereka grafik yang berkemampuan dan kreatif dalam menghasilkan logo terbaik untuk mempromosikan Malaysia bagi tahun 2020.

“Dua tahun lagi menjelang 2020. Ini imej negara, sementara ia masih belum dipromosikan lebih baik kerajaan tarik balik logo itu.

“Kita mempunyai ramai pereka grafik yang terbaik dan boleh menawarkan logo baharu untuk kerajaan, tapi sebelum berbuat demikian kerajaan perlu sedar dahulu bahawa logo yang dilancarkan mereka teruk,” katanya.

Berdasarkan logo terbaharu yang ditonjolkan kementerian tersebut memaparkan ‘Visit Malaysia 2020’ dengan imej orang utan dan penyu dipercayai sebagai merujuk keistimewaan di negeri Sabah dan Terengganu.

Kebanyakan netizen menyifatkan logo tersebut sebagai karya yang berundur ke belakang berbanding kempen-kempen pada tahun sebelumnya.

“Logo seperti ini membuatkan saya tidak mahu melawat Malaysia,” tulis Jeremy Bakri.

“Budak baru belajar ke yang buat logo ni? Malunya pelancong tengok hasil seni Malaysia macam ni,” tulis AJ Kem.

Sebahagian netizen turut mempersoalkan peruntukan kerajaan untuk menghasilkan logo tersebut, termasuk pihak yang bertanggungjawab dalam penghasilan logo promosi itu.

“Ini saja ke standard untuk logo promosi negara? Ramai pereka grafik negara yang boleh buat lebih daripada ini,” tulis Muhammad Zulfaqar.

Meskipun isu tersebut hangat diperbincangkan netizen di media sosial, namun Kementerian Pelancongan sehingga kini masih belum memberikan sebarang respon berhubung perkara itu.

The post Komuniti pereka grafik kritik logo Tahun Melawat Malaysia 2020 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 4380495956999842087

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item