ismakualaterengganu

Krisis kekeluargaan keluarga diraja Arab Saudi berterusan

   RIYADH, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Putera Talal bin Abdulaziz, bapa kepada jutawan Putera Al-Waleed bin Talal, dilaporkan meng...

 

 RIYADH, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Putera Talal bin Abdulaziz, bapa kepada jutawan Putera Al-Waleed bin Talal, dilaporkan mengadakan mogok lapar sebagai bantahan terhadap tindakan anak saudaranya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang menangkap tiga anak lelakinya.

Putera Talal, 86 tahun, orang pertama yang melakukan pembaharuan dalam keluarga diraja Arab Saudi (House of Saud), yang juga saudara tiri kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz, mula mogok lapar pada 10 November, dilaporkan hilang 10 kilogram berat badan, tidak lama selepas anak lelaki sulungnya, Putera Al-Waleed ditahan pada 4 November.

Minggu lalu, tiub makanan dimasukkan ke badannya, tetapi keadaan kesihatannya yang ditempatkan di Hospital King Faisal di Riyadh, terus lemah, kata beberapa individu yang melawatnya.

Ramai keluarga diraja dan ahli perniagaan melawat Putera Talal.

Seorang pelawat yang enggan dikenali berkata:

“Kami mengenali dia dengan baik dan mengapa dia melakukan ini. Tidak ada sebab perubatan mengapa dia tidak mempunyai selera makan.

“Beliau juga tidak menyatakan alasan kenapa beliau enggan makan. Namun tidak ada keraguan terhadap sebab beliau melakukan mogok lapan.”

Ketika Raja Salman melawatnya akhir November untuk menyampaikan takziah atas kematian kakak mereka, Madawi, Raja Arab Saudi itu dirakam mencium tangan Putera Talal yang duduk di atas kerusi roda.

Pelawat itu berkata, Putera Talal tidak membangkitkan isu penangkapan tiga anak lelakinya ketika bertemu Raja Salman kerana beliau enggan menggunakan kedudukannya untuk mendesak raja membebaskan anak-anaknya, sedangkan yang lain berada dalam tahanan.

Sebulan selepas bertindak demikian, Putera Talal memberitahu rakan-rakannya bahawa adalah menjadi hak beliau untuk membantah secara sopan bagi menarik perhatian terhadap kezaliman yang dilakukan anak saudaranya Putera Mahkota Mohammed, dengan alasan mengekang rasuah.

Kehadiran Putera Talal yang menjalani rawatan di hospital itu menjadi titik pertemuan ramai kalangan keluarga Al-Saud, dan bagaimana mereka melihat apa yang sedang berlaku di Arab Saudi sekarang.

Putera Talal dikenali sebagai seorang yang liberal. Bekas Menteri Kewangan ketika Arab Saudi diperintah Raja Saud (1953-1964), beliau lebih dikenali sebagai ‘Putera Merah’ pada 1060-an kerana mengetuai Pergerakan Bebas Putera-Putera Raja, yang mendesak diakhiri kuasa monarki mutlak.

Tetapi, keluarga diraja menolak pergerakan itu dan Putera Talal dipaksa mengasingkan diri di Mesir sebelum ibunya berjaya mengadakan perdamaian dengan anggota keluarga lain.

Putera Talal juga berkempen untuk hak asasi wanita, sebelum Arab Saudi membuat keputusan membenarkan wanita memandu.

Beliau juga berterusan menganjurkan kempen pelaksanaan sistem monarki berperlembagaan dan mendorong untuk pemisahan kuasa di mana beliau mendakwa sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Ketika satu temu bual dengan stesen televisyen Mesir, Al Mihwar pada 2007, Putera Talal berkata, beliau mempercayai kepada pemisahan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Almarhum Raja Fahd melaksanakannnya pada 1992, apabila beliau menggunakan Perlembagaan Saudi yang menjadi undang-undang asas kerajaan. Di dalamnya, pemisahan kuasa disebut dengan jelas. Apa yang kita tuntut sekarang ialah pihak berkuasa menjadi institusi bebas,” katanya.

Tiga anak Putera Talal yang ditangkap oleh Putera Mahkota Mohammed ialah Putera Al-Waleed, Pengerusi Kingdom Holding Company, dan salah seorang yang paling kaya di dunia dengan aset dinilai oleh Bloomberg sebanyak AS$19 bilion, yang berada dalam tahanan di Ritz-Carlton Hotel, Riyadh sejak 4 November lalu.

Menurut sumber, Putera Mahkota Mohammed mendesak Putera Al-Waleed menyerahkan keseluruhan empayar Kingdom Holding Company kepada kerajaan, tetapi beliau enggan berbuat demikian dan mendesak dibicarakan.

Bagaimanapun, baru-baru ini akhbar Okaz melaporkan, pihak berkuasa Arab Saudi membebaskan Putera Al-Waleed selepas beliau setuju membayar AS$6 bilion kepada kerajaan.

Sementara itu, seorang lagi anak Putera Talal, Putera Khalid yang melobi pembebasan abangnya

itu dilaporkan ditangkap selepas bertengkar dengan pegawai kerajaan berhubung penahanan Putera Al-Waleed. Seorang lagi, adiknya juga ditangkap kerana dituduh mengkritik.

Pelawat itu berkata, tiada siapa yang ragu-ragu mengenai motif Putera Mahkota Mohammed untuk melakukan pembersihan dalam kalangan keluarga diraja dan ahli perniagaan.

Katanya, sementara ada anggota keluarga diraja yang memang diketahui korup dan tidak diganggu, kebanyakan sasaran penangkapan ditujukan kepada anak-anak Putera Abdullah bin Abdulaziz dan Putera Talal.

“Sesetengah keluarga diraja itu sudah diketahui sejak berdekad lalu terbabit dalam rasuah,” kata Putera Bandar bin Sultan, antara putera raja Arab Saudi paling terkenal dan bekas Duta Arab Saudi ke Washington, yang turut ditangkap.

Penganalisis pula mempersoalkan kenapa Putera Khalid bin Sultan dan Putera Mohammed bin Fahd tidak disiasat.

Selain, Putera Al-Waleed dan adik beradiknya, beberapa kerabat diraja yang lain masih berada dalam tahanan. Mereka termasuk, Putera Turki bin Nasser, Putera Turki bin Abdullah dan Putera Fahd bin Abdullah bin Abdulrahman.

Sementara itu, nasib Putera Abdulaziz bin Fahd, yang sebelum ini kuat mengkritik pemerintah, juga tidak diketahui. Laporan media sosial sebelum ini, mendakwa beliau diserang angin ahmar dan serangan jantung ketika beliau mengelak daripada ditangkap.

Putera Mohammed bin Nayef, yang disingkirkan daripada jawatan Putera Mahkota, dilaporkan masih dikenakan tahanan rumah sebelum operasi besar-besaran menangkap anak raja dan ahli perniagaan dilakukan November lalu, manakala Putera Miteb bin Abdullah pula dilaporkan dibebaskan setelah membuat bayaran AS$1 bilion kepada kerajaan.

 

Bagaimanapun, Putera Mohammed bin Nayef dan Putera Miteb tidak dibenarkan bergerak bebas. Kedua-duanya mesti mendapatkan kebenaran jika mahu meninggalkan istana mereka dan akan diiringi oleh anggota Pengawal Kebangsaan yang setia kepada Putera Mahkota Mohammed.

Sejak kebelakangan ini, ada laporan menyebut ramai anggota keluarga diraja Arab Saudi yang lebih kanan berasa kecewa dan marah di atas tindakan Putera Mahkota Mohammed, dan kawalan mutlak yang cuba dikuatkuasakan di seluruh negara.

Pada masa sama, mereka turut bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Putera Mohammed bin Nayef yang disingkirkan daripada jawatan Putera Mahkota – kedudukan kedua selepas Raja Arab Saudi. – Agensi

The post Krisis kekeluargaan keluarga diraja Arab Saudi berterusan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 2721443052486653989

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item