Kutipan tol tamat secara rasmi di Batu 3, Sungai Rasau
SHAH ALAM, 13 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Plaza Tol Batu Tiga di sini ditamatkan secara rasmi tepat 12 tengah malam tadi dengan palang tol di kedua-dua plaza berkenaan diangkat sambil diiringi sorakan orang ramai yang berada di situ.
Kutipan tol di kedua-dua plaza berkenaan bermula pada 15 November 1993 dan ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Pemansuhan itu dirai dalam satu majlis kesyukuran ringkas yang diadakan di Plaza Tol Sungai Rasau dengan kehadiran Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Selangor Tan Sri Noh Omar, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ir Ismail Md Salleh.
Pada majlis berkenaan, PLUS yang diwakili Pengarah Urusan Datuk Azman Ismail menyerahkan secara rasmi surat serah kuasa pembatalan tol kepada Ismail.
Pemansuhan kutipan tol itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018, sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Langkah itu memberi manfaat kepada kira-kira 270,000 penduduk Shah Alam dan Klang yang akan menikmati penjimatan antara RM48.40 dan RM126 sebulan.
Susulan pemansuhan tol itu, operasi dan penyenggaraan jajaran Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya. -Bernama
The post Kutipan tol tamat secara rasmi di Batu 3, Sungai Rasau appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan